Cari @ Amanz

Walaupun sudah hampir lima tahun dilancarkan, Google Pixel masih belum ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Pengguna Pixel kerap berkata kamera peranti mereka adalah yang terbaik tetapi jika harga jualan tidak padan dengan spesifikasinya di Malaysia, ini semua sekadar bualan sia-sia. Seterusnya Pixel 5a akan dilancarkan dan hari ini imej pengolokannya terlahpun tertiris.

Ia ditiriskan oleh @OnLeaks dan berdasarkan imej di atas ia sekadar Pixel 4a yang dikitar semula. Peranti masih mempunyai skrin dengan lubang kamera swafoto, bicu audio 3.5mm, pengimbas cap jari fizikal pada bahagian belakang dan sistem dwi-kamera utama. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan dengan butang kuasa mempunyai warna yang berbeza dari tubuh.

Tiada maklumat mengenai spesifikasi diketahui pada waktu ini. Umum diketahui tahun lalu Google tidak melancarkan Pixel dengan pemproses kelas mercu. Oleh itu Pixel 5a mungkin akan hanya dilengkapi cip kelas pertengahan yang lebih baik daripada Snapdragon 730G pada Pixel 4a.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd