Tahun ini muncul ura-ura siri Galaxy Note akan dihentikan bagi membolehkan Samsung menumpukan perhatian kepada dua sahaja peranti mercu setahun. Siri Galaxy S dan Galaxy Z Fold akan menjadi tumpuan utama mereka. Oleh sebab itulah sokongan S Pen kini diberikan kepada siri S21 dan kelak akan hadir pula pada siri Galaxy Z Fold.

Menurut laporan ETNews, Samsung telah berjaya menghasilkan skrin boleh-lipat yang menyokong stylus S Pen mereka. Dengan kejayaan ini, Galaxy Z Fold3 kelak akan menjadi peranti skrin boleh-lipat pertama dunia yang menyokong stylus berteknologi Wacom. Antara isu sebelum ini ialah ketahanan skrin boleh-lipat jika S Pen digunakan. Tetapi dengan terciptanya teknologi UTG, ini tidak lagi mendatangkan isu.
Peranti skrin boleh-lipat terkini Samsung akan dilancarkan pada separuh tahun kedua 2021 ini. Kepada peminat Note, anda tiada pilihan selain membeli S21 Ultra atau berpindah kepada Galaxy Z Fold selepas ini.