Carian
Masalah Bekalan Cip Pemprosesan Dijangka Berlarutan Sehingga 2022
February 24, 2021 Nazrin

Tahun 2020 menyaksikan syarikat-syarikat seperti AMD, Intel, NVIDIA, Qualcomm, Apple dan sebagainya semua membangunkan cip pemprosesan yang digunakan didalam komponen-komponen komputer seperti CPU dan juga kad grafik.

Prestasi yang sangat baik yang tiba melalui cip-cip pemprosesan ini, digabungkan dengan permintaan yang tinggi oleh pelbagai pihak menyebabkan bekalan komponen-komponen ini tidak mencukupi untuk pasaran global.

Ini cukup serius khususnya buat syarikat-syarikat seperti AMD dan NVIDIA yang kini mengalami isu kekurangan bekalan CPU dan kad grafik yang habis dibeli oleh bot-bot pembeli dan pelombong kriptowang kerana prestasi dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.

AMD dan NVIDIA mengatakan bahawa kekurangan bekalan CPU dan kad grafik ini dijangka akan beterusan sehingga sekurang-kurangnya pertengahan tahun ini. Isu ini lebih serius buat AMD kerana APU terbaru mereka juga digunakan untuk menguasakan konsol-konsol permainan terbaru Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X.

Laporan daripada MarketWatch mengatakan bahawa isu ini akan berlarutan sehingga pertengahan tahun 2022. Bekalan cip pemprosesan kini 30 peratus dibawah jumlah yang diperlukan, dan oleh kerana itu kita dapat melihat bahawa CPU dan kad grafik biasanya hadir dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Ia dikatakan bahawa masa proses pembuatan bahan semikonduktor adalah selama 14 minggu, dan ini belum mengambil kira masa pembangunan sebagai sebuah komponen cip pemprosesan.

Intel Gen 10 H

Syarikat-syarikat seperti TSMC, GlobalFoundries, Samsung dan sebagainya semuanya dilihat sedang cuba untuk menambah jumlah kilang pembangunan semikonduktor dan cip pemprosesan ini, tetapi ia akan mengambil masa sebelum bekalan cip-cip pemprosesan ini akan kembali seperti sediakala.

Teknologi masa akan datang semuanya akan menggunakan cip-cip pemprosesan yang berkuasa, khususnya seperti peranti berhubung, kenderaan swapandu dan pelbagai kelengkapan elektronik yang lain.

Ia diharap dengan pengembangan infrastruktur pembuatan cip-cip ini, kita akan mula melihat bekalan komponen-komponen ini kembali pulih seperti biasa tidak lama lagi.

Komen