Carian
Ini Ialah Wajah Sebenar Orang Perak Menurut Kajian Terkini USM
February 25, 2021 • Effi Saharudin

Orang Perak atau lebih dikenali sebagai Perak Man ialah rangka manusia tertua yang pernah ditemui di Semenanjung Malaysia. Rangka yang ditemui pada tahun 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong Perak ini dianggar berusia di antara 10,00-11,000 tahun. Kini selepas tiga dekad wajah sebenar Orang Perak telah diperlihatkan buat pertama kali.

Teknik cetakan 3D, imbasan CT dan teknik pembentukan semula wajah forensik telah digunakan bagi menghasilkan imej di atas yang dipercayai paling tepat pernah dihasilkan setakat ini. Usaha menghasilkan wajah sebenar ini dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia dengan bantuan firma Ortogonline Treinamento em Desenvolvimento Profissional e Consultoria
Ltda dari Brazil.

Penyelidik mendapati isipadu kepala Orang Perak adalah lebih kecil berbanding isipadu manusia moden memberikan hipotesis selain kecacatan fizikal, Orang Perak mungkin turut mempunyai kecacatan mental. Kecacatan pada tulang belakang dan tangan kiri dapat dilihat pada rangka. Sungguhpun begitu ahli arkeologi percaya beliau adalah insan yang penting dalam komuniti berdasarkan cara dan lokasi ia ditanam,

Penemuan Perak Man adalah penting untuk memahami sejarah penduduk zaman Paleolitik di Semenanjung Malaysia. Ketika ditemui, rangka ditanam dalam posisi terlipat seperti bayi dalam kandungan, memegang beberapa jenis daging dan turut ditanam dengan ribuan kulit cangkerang.

Kertas kajian penghasilan wajah Orang Perak ini telahpun diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medical Sciences yang boleh diakses menerusi pautan di bawah

Komen