Cari @ Amanz

Bercakap mengenai privasi dan keselamatan maklumat peribadi – ia merupakan salah satu aspek penting yang seharusnya menjadi perkara utama yang perlu dititiberatkan oleh semua pihak. Lebih-lebih lagi jika melibatkan aktiviti atas talian. Mengapa? Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku – misalnya menjadi mangsa sindiket penipuan, penggodaman dan pencurian maklumat. Bak kata pepatah, malang tidak berbau. Tapi, kita perlu peka dan berusaha untuk mengelakkannya.

Contoh yang paling mudah adalah  proses komunikasi secara dalam talian menerusai aplikasi pemesejan – misalnya WhatsApp. Meskipun pada dasarnya, WhatsApp merupakan platform yang memudahkan orang ramai untuk memperoleh dan berkongsi maklumat tanpa batasan masa. Tetapi, sebagai pengguna adalah penting untuk anda mempunyai kesedaran, kefahaman serta pengetahuan mengenai privasi dan keselamatan maklumat sewaktu berkomunikasi secara atas.

Bercakap mengenainya, pihak WhatsApp sentiasa bekerja keras melaksanakan langkah-langkah yang sepatutnya bagi memastikan privasi pengguna tetap terjaga. Jadi, tidak kira sama ada anda seorang pengguna yang muda atau tua, keselamatan haruslah sentiasa diutamakan. Ayuh, ketahui cara bagi memastikan anda kekal selamat 24/7 ketika menggunakan WhatsApp – serta meletakkan kawalan sepenuhnya di tangan anda.


1) Ciri Penyulitan Hujung Ke Hujung (end-to-end encryption)

Bagi memastikan maklumat peribadi kekal dilindungi secukupnya. WhatsApp menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak ketiga mahupun mereka sendiri yang dapat mengakses pemesejan serta perbualan peribadi pengguna – kerana ia dilindungi menerusi ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption). Fungsi ini diaktifkan secara lalai – melaluinya, hanya penghantar dan penerima terlibat sahaja yang boleh membuka, membaca atau mendengar setiap mesej yang dihantar/diterima.

Untuk keselamatan tambahan, WhatsApp turut menyediakan fungsi pengesahan dua langkah – bagi melindungi akaun pengguna daripada akses akaun yang tidak sepatutnya. Dengan erti kata lain, sekiranya anda kehilangan akses kepada akaun WhatsApp, mesej yang diterima sebelum ini akan kekal pada telefon sedia ada dan tidak akan tersedia di tempat lain.


2) Ikon Khusus Pada Setiap Mesej Yang Dimajukan

Seterusnya, WhatsApp turut mengehadkan kadar sesuatu mesej boleh dimajukan kepada yang lain. Di mana, ia hanya boleh dimajukan kepada 5 orang sahaja dalam satu masa. Selain, pada masa sama terdapatnya ikon dimajukan bersebelahan setiap mesej berkenaan – untuk memudahkan orang ramai mendapat tahu bahawa penghantar bukanlah sumber utama kepada mesej diterima. Ia bukan sahaja mampu menangani isu maklumat salah dan palsu. Malah turut, mengelakkan isu penyalahgunaan aplikasi.


3) Sekat / Tapis  Mesej Daripada Pengirim Yang Tidak Dikenali

Contoh situasi, anda menerima mesej atau panggilan melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali. Kemudiannya, anda berasa tidak selesa dan mahu menapis mesej / panggilan berkenaan? Tarik nafas, jangan panik. Ia boleh dilakukan dengan cara menyekat mereka. Misalnya, jika ini adalah kali pertama anda dihubungi oleh nombor telefon berkenaan – anda boleh menyekat secara terus daripada ruang sembang dengan klik pada pautan ‘sekat’. Atau sebagai alternatif, pengguna juga boleh menggunakan beberapa langkah berikut:

Peranti Android

  • Buka tetapan WhatsApp >  klik ikon > Akaun > Privasi > Kenalan Disekat > Tambah Baru
  • Buka ruang sembang kenalan > klik ikon  > Lagi > Sekat
  • Buka ruang sembang kenalan > klik pada nama kenalan > Sekat Kenalan > Sekat / Laporkan Kenalan > Laporkan Dan Sekat

Peranti iPhone

  • Buka tetapan WhatsApp > Akaun > Privasi > Kenalan Disekat > Tambah Baru
  • Buka ruang sembang kenalan > kemudian klik

Nota kaki: Sebarang bentuk mesej atau panggilan yang dihantar oleh kenalan disekat, tidak akan muncul lagi pada telefon pintar anda. Selain itu, maklumat terakhir seperti kemaskini status atau sebarang perubahan yang dibuat oleh anda juga tidak akan diketahui oleh pihak terbabit.

Namun, seandainya suatu hari nanti, anda menyahsekat semula kenalan berkaitan. Anda bagaimanapun, tidak boleh mengakses sebarang mesej atau panggilan yang dibuat oleh pihak terbabit sepanjang tempoh masa mereka disekat.


4) Laporkan Mesej Yang Bermasalah

Situasi seterusnya – mesej berbentuk spam, penipuan dan phising. Keadaan ini, rata-rata pengguna pasti pernah mengalaminya. Antara kandungan mesej sebegini kebiasannya terdiri daripada beberapa bentuk – misalnya tawaran atau ganjaran, mesej dengan ejaan atau tatabahasa yang salah dan sebagainya. Lebih teruk lagi, ada yang meminta pengguna untuk klik pada pautan tertentu atau menghantar mesej berkenaan kepada penerima lain – Kononnya bagi mengelakkan akaun mangsa akan disekat atau tidak boleh digunakan kelak. Jadi apabila keadaan ini berlaku, mereka yang terlibat akan panik sehingga menimbulkan permasalahan lain seperti penularan mesej palsu.

Antara langkah mudah yang boleh diambil adalah dengan menyekat, mengabaikan atau memadam mesej berkenaan. Tetapi untuk keselamatan bersama, anda lebih disarankan untuk menghantar laporan kandungan bermasalah berkenaan kepada pihak WhatsApp. Ia boleh dilakukan secara terus daripada aplikasi. Jika diperlukan, anda juga boleh mengambil tangkapan skrin kandungan dan kongsikannya Bersama sebarang info berkaitan. Caranya:

  • Pada peranti Android: Buka tetapan WhatsApp > klik pilihan Lagi > Tetapan > Bantuan > Hubungi kami.
  • Pada peranti iPhone: Buka tetapan WhatsApp > Tetapan > Bantuan > Hubungi Kami.

5) Kawal Perkongsian Dengan Pihak Sepatutnya

Anda juga perlu tahu bahawa terdapatnya beberapa lagi kawalan asas yang dapat melindungi diri anda. Melaluinya, anda boleh mengawal sejumlah perkara – termasuklah kawalan terhadap maklumat peribadi. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan siapa yang sepatutnya boleh melihat foto, pengenalan diri, kemaskini status dan banyak lagi dengan beberapa langkah mudah.

WhatsApp Messenger

Pada masa sama, anda juga boleh menyahaktifkan tanda semak biru menerusi tetapan untuk lebih privasi yang terjaga. Bagaimanapun, fungsi ini tidak dapat dinyahaktif pada ruang sembang secara berkumpulan. Di samping itu, anda juga boleh mengaktifkan Touch ID, Face ID, atau kunci cap jari Android untuk melindungi akaun WhatsApp anda.


Natijahnya di sini ialah isu-isu berkaitan privasi serta keselamatan maklumat peribadi perlu diambil perhatian dan tidak boleh diperkotak-katikkan. Apa yang penting, kita perlulah terap dalam diri untuk menjadi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab.

Nantikan artikel seterusnya berkenaan memerangi informasi palsu di WhatsApp.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd