Bekalan Vaksin COVID-19 Mula Dihantar Ke Seluruh Malaysia

Bekalan Vaksin COVID-19 Mula Dihantar Ke Seluruh Malaysia

Diterbitkan pada Feb 25, 2021 oleh .

Bekalan vaksin Pfizer-BioNTech telah mula tiba di Malaysia beberapa hari lalu, dan semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah adalah dua penerima suntikan imunisasi COVID-19 tersebut.

Pada hari yang sama, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia seperti Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Perak, Pahang dan Perlis juga telah menerima bekalan vaksin tersebut.

Pada hari ini, bekalan vaksin baru nampaknya telah selamat dihantar ke negeri-negeri Kedah dan juga Terengganu. Sebanyak 2340 dos vaksin telah dihantar ke Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, dimana suntikan-suntikan pertama dijangka akan dilakukan bermula hari Ahad ini.

Sejumlah 16,000 dos vaksin tersebut juga telah selamat sampai di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan selamat diagihkan ke lokasi-lokasi lain juga seperti Kemaman dan Setiu. Untuk negeri tersebut, proses imunisasi petugas hadapan akan bermula pada 2 Mac kelak.

Di Pulau Pinang pula, program imunisasi mereka akan bermula pada hari Ahad ini, dan ia dilaporkan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan menjadi yang pertama di negeri tersebut untuk menerima suntikan imunisasi.

Beliau juga mengatakan bahawa pelan kerajaan Pulau Pinang ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 1.3 juta rakyat negeri tersebut menerima suntikan ini untuk mewujudkan kelompok imuniti.

Pulau Pinang telahpun melengkapkan 15 Pusat Pemberian Vaksin di tiga wilayah untuk memastikan program vaksinasi mereka berjalan dengan lancar.

Ia dijangka bahawa kerajaan akan mula menghantar dos-dos vaksin ini dalam masa beberapa hari ini supaya fasa pertama Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini boleh bermula dengan segera.


Paling Popular