Cari @ Amanz

Twitter hari ini telah berkongsi sejumlah perkembangan menarik pada syarikat mereka, sekaligus berkongsi apa yang telah dilaksanakan dan apakah yang bakal dibawakan oleh Twitter.

Berkongsi mengenainya, Twitter mengatakan mereka akan memfokuskan kepada Twitter Spaces – salah satu kaedah interaksi berasaskan audio, lebih kurang seperti Clubhouse. Disamping itu, Twitter juga turut akan mula memfokuskan kepada buletin emel Revue dalam memudahkan penerbit kandungan menjana pendapatan.

Kedua-dua perkara ini sedia diketahui ramai memandangkan Twitter telah mengujinya secara terbuka sebelum ini.

Menjadi kejutan adalah apabila Twitter turut mengatakan bakal hadir dengan ciri Super Follows.

Melalui Super Follows, anda boleh membayar seseorang penerbit kandungan di Twitter – dan menerima akses kandungan khusus, akses komuniti, dan juga lencana penyokong pada profil pengguna.

Ciri ini adalah lebih kurang seperti ciri “Membership” pada YouTube. Langkah ini juga akan membolehkan para penerbit kandungan dan mereka yang mempunyai akaun Twitter untuk menjana pendapatan melalui platform berkenaan.

Buat masa ini, Twitter belum mengatakan bilakah bakal memperkenalkan ciri ini secara rasminya. Tetapi, dengan perkongsian ini, kita mungkin melihat pengenalan Super Follow tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd