Carian
FiLMiC Mendakwa Teknologi Cubiform Mereka Memproses Video 500% Lebih Pantas
February 26, 2021 Effi Saharudin

Ramai di kalangan pembaca pastinya penah memproses video di komputer riba ataupun telefon pintar. Bergantung kepada berapa banyak video, kesan khas yang digunakan dan panjangnya, proses ini boleh mengambil masa berjam-jam lamanya. Lebih sadis ialah ketika video sedang rendering, ia tidak boleh digunakan untuk tugas lain.

FiLMiC, pembangun aplikasi FiLMiC Pro yang popular iOS mengumumkan teknologi Cubiform mereka minggu ini. Menurut mereka, Cubiform adalah teknologi memproses video yang jauh lebih efisien berbanding teknologi GPU yang digunakan sekarang. Hasilnya ialah waktu yang diambil untuk memproses video oleh Cubiform ialah 4.75 kali lebih pantas.

Cubiform menghasilkan color look-up tables (C-LUTs) berdasarkan video yang disunting secara dinamik. Apabila video diproses, nilai yang telah dipra-kira dari C-LUT akan digunakan untuk setiap bingkai video. Ini berbeza dengan sistem GPU dimana setiap nilai pixel dan parameter video diproses satu persatu untuk setiap bingkai video.

Waktu yang diambil untuk memproses satu bingkai video menggunakan teknologi GPU ialah 26.4 ms. Cubiform memproses bingkai video yang sama dalam masa 5.6 saat. Jadi masa yang diambil untuk memproses video 1.4 jam 6K24p akan hanya mengambil masa 31 minit berbanding 1.5 jam menggunakan teknik GPU.

Cubiform telahpun dipatenkan oleh FiLMiC dan akan digunakan pada aplikasi keluaran mereka iaitu ps FiLMiC Pro, DoubleTake dan Firstlight.

Komen