Cari @ Amanz

Redmi AirDots adalah TWS mampu milik dari Xiaomi yang amat popular. Ia juga adalah TWS terawal yang membuatkan pelbagai TWS dalam kategori ini mudah didapati di Malaysia. Dari harga sekitar RM159 sehinggalah bawah RM90.

Kejayaan Redmi AirDots membuatkan Xiaomi meneruskan melancarkan TWS mampu milik ini dengan versi kemaskini. Untuk tahun 2021, Xiaomi melancarkan Redmi AirDots generasi ketiga – Redmi AirDots 3.

Redmi AirDots 3 dijana denga cip Qualcomm QCC3040, yang mana menyokong Bluetooth 5.2, tambatan ke peranti lebih pantas, sambungan yang lebih stabil dan juga menyokong codec aptX Adaptive. Untuk bateri Redmi menjanjikan ketahanan sehingga 30 jam dengan 7 jam penggunaan secara berterusan. Saiz bateri adalah 600mAh dan boleh dicas melalui USB-C.

TWS ini mempunyai pad sentuhan untuk memudahkan pelbagai kawalan, seperti jeda/main, langkau atau menyeru pembantu digital Xiao Ai. Untuk panggilan telefon, Redmi AirDots 3 mempunyai sistem pengurangan hingar persekitaran untuk kualiti yang lebih jelas.

Ia mempunyai perlindungan IPX7, lampu LED untuk indikasi tambatan dan bateri, serta pilihan warna putih, hitam atau merah jambu. Rekaan secara keseluruhan masih lebih kurang sama lagi. Untuk harga jualan, ia dijual pada harga RMB199 – iaitu sekitar RM125.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd