Cari @ Amanz

Final Cut Pro merupakan salah satu perisian popular dikalangan ramai pengguna Mac. Ia merupakan perisian penyuntingan video, dan sering digunakan ramai penerbit kandungan dalam menghasilkan video.

Pada hari ini, Final Cut Pro ditawarkan pada harga RM1299.99 – dan hanya perlukan sekali pembelian untuk penggunaan berkali-kali.

Apa pun, terbaru, melalui pendaftaran tanda-dagang Apple terbaru di Eropah,  memberikan petanda yang mana Final Cut Pro mungkin turut akan ditawarkan dalam bentuk langganan.

Pendaftaran tanda dagang terbaru ini meliputi langganan perisian – lebih kurang seperti Office 365 ataupun Adobe Creative Cloud.

Apple sedia menekankan kepada langganan perkhidmatan dalam menambah pendapatan mereka – dan sedia menawarkan Apple One untuk pengguna. Tidak mustahil kita turut melihat Apple melakukan perkara sama pada Final Cut Pro – atau mungkin menawarkan beberapa ciri tambahan kepada pembelian perisian berkenaan.

Buat masa ini, ia hanya sekadar pendaftaran perluasan tanda-dagang meliputi perkhidmatan langganan perisian sahaja. Apple masih tidak mengumumkan sebarang perkara berkaitan perubahan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd