Cari @ Amanz

Jika anda bangun pagi ini, dan perasan bahawa anda tidak lagi boleh mendengar lagu daripada sejumlah artis-artis K-Pop kegemaran anda seperti IU, Nu’est, MAMAMOO, Epik High, GFriend dan sebagainya, Spotify baru sahaja mengesahkan mengapa diskografi artis-artis ini telah hilang daripada platform penstriman tersebut.

Menurut jurucakap Spotify, 1 Mac 2021 ialah tarikh berakhirnya perjanjian diantara mereka dan juga label muzik Kakao M yang menjaga artis-artis ini. Usaha telah dijalankan untuk memperbaharui kontrak bersama-sama dengan mereka sejak tahun lepas, tetapi setakat ini sebarang persefahaman tidak berjaya ditemui, dan Spotify terpaksa memadam lagu-lagu tersebut buat masa ini.

Menariknya, Kakao M juga baru sahaja memperkenalkan platform penstriman muzik mereka sendiri kebekalangan ini untuk pasaran Korea, tetapi menurut Spotify, platform tersebut tiada kena mengena dengan pembaharuan kontrak penstriman ini.

Spotify juga berkata bahawa mereka akan terus cuba untuk memperbaharui kontrak ini supaya peminat-peminat K-Pop di Spotify boleh terus menikmati lagu-lagu ini di platform mereka kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd