Sebuah telefon pintar kelas mercu semestinya menjadi idaman orang ramai. Kebiasaannya, telefon pintar mercu ini akan hadir dengan spesifikasi yang paling tinggi dan premium, serta pelbagai fungsi terbaru. Namun sayangnya telefon pintar kelas mercu ini seringkali dipasarkan pada harga yang tinggi. Oleh itu, ramai di antara kita lebih memilih untuk mendapatkan peranti yang lebih berbaloi bagi setiap ringgit yang mereka belanjakan tetapi dalam masa yang sama masih mampu untuk memberi prestasi yang memuaskan.
Samsung mengetahui bahawa telefon pintar kelas pertengahan akan sentiasa ada permintaannya. Oleh sebab itu, bermula daripada tahun 2019 mereka telah mengeluarkan lebih kurang 12 model telefon pintar dibawah siri Samsung Galaxy A di seluruh dunia. Manakala pada tahun 2020 yang lalu, sebanyak 13 model telefon pintar telah dilancarkan dibawah siri ini. Malah pada awal tahun ini sahaja, sebanyak 5 model dibawah siri Samsung Galaxy A telah dikemaskini dengan spesifikasinya yang terbaru. Melalui corak pelancaran telefon pintar dibawah siri Galaxy A, dan berdasarkan sumber maklumat yang tertiris yang kami dapatkan melalui laman web Tom’s Guide, kami dapat jangkakan bahawa telefon Samsung Galaxy A52 dan A72 tidak lama lagi akan memasuki pasaran dunia.
Pada dua tahun yang lalu, Samsung memperkenalkan Samsung Galaxy A50 dan A70 di mana reka bentuk pada belah hadapan kedua-dua peranti ini amat berlainan dari Galaxy A5 dan A7 yang sebelumnya. Tiada lagi dahi dan dagu yang besar tetapi telah diganti dengan skrin Infinity-U FHD+ yang bukan sahaja memberi paparan lebih besar untuk mendapatkan pengalaman tontonan yang lebih memuaskan. Malah ia juga kelihatan lebih moden dan kemas. Antara perkara menarik yang ada pada peranti ini adalah penggunaan teknologi Super AMOLED dan rekaan ini masih kekal pada siri ini.

Pada tahun lalu, Samsung sekali lagi telah mengemaskini skrin untuk telefon pintar siri ini dan mereka telah beralih ke skrin Super AMOLED Infinity-O untuk Galaxy A51 dan A71. Menariknya pada A51, mereka telah berjaya untuk menggunakan skrin yang lebih besar daripada model sebelumnya yang mempunyai saiz yang hampir sama. Ini sekaligus membuatkan dagu A51 sangat nipis kalau hendak dibandingkan dengan yang terdahulu dan memberi peluang kepada anda untuk menikmati paparan skrin yang lebih luas.
Sekiranya kita ikuti perkembangan siri Samsung Galaxy A, telefon pintar Samsung Galaxy A52 dan A72 dijangkakan akan dilancarkan tidak lama lagi. Kemaskini apakah yang boleh kita harapkan daripada siri Galaxy A tahun ini? Besar kemungkinan, Samsung Galaxy A52 dan A72 akan menggunakan skrin dengan kadar segar semula yang lebih tinggi. Jika kita lihat, Samsung telah menawarkan skrin jenis AMOLED 120Hz pada peranti mercu mereka. Oleh itu, sekiranya Samsung menawarkan skrin jenis ini pada siri Galaxy A, sudah pastinya ramai akan menerimanya dengan tangan terbuka. Namun, sekiranya tidak menggunakan skrin dengan kadar segar semula 120Hz sekalipun, skrin dengan kadar segar semula 90Hz masih lagi dapat memberikan pengalaman yanag lebih lancar kepada pengguna jika dibandingkan dengan skrin 60Hz yang sedia ada. Bagaimana pula dari segi saiz skrin? Kami jangkakan bahawa pihak Samsung masih lagi akan mengekalkan saiz yang sama namun mereka akan mengurangkan lagi saiz ketebalan dagu dan dahi peranti sekaligus menjadikan nisbah skrin ke badan telefon pintar ini menjadi lebih luas.
Bercakap mengenai sokongan kamera pula, tahun lalu model Galaxy A51 dan A71 hadir dengan sokongan kamera kuad. Namun, model Galaxy A51 hadir dengan lensa utama 48MP, manakala Galaxy A71 pula hadir dengan lensa utama 64MP. Jangkaan kami untuk model tahun ini mengatakan bahawa telefon pintar Galaxy A52 dan A72 masih lagi menyokong kamera kuad ini, namun sensor lensa untuk kedua duanya telah dinaik tarafkan kepada 64MP.

Bagaimana pula dari segi cip pemprosesnya? Berdasarkan model Galaxy A50 dan A51 yang lalu, Samsung menawarkan janaan cip Exynos mereka sendiri pada telefon pintar ini. Manakala bagi model A70 dan A71 pula, Samsung menggunakan cip Snapdragon daripada Qualcomm. Tahun ini besar kemungkinan Galaxy A52 dan A72 akan mula menyokong rangkaian 5G. Terdapat 2 sebab mengapa kami berkata sebegitu. Pertamanya, di pasaran luar Malaysia kita dapat lihat bahawa terdapat siri Samsung Galaxy A51 dan A71 yang sudah tersedia dengan teknologi 5G. Kemudian yang kedua adalah kerana Samsung Galaxy A42 5G baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada hujung tahun 2020 lalu. Ini secara tidak langsung telah menjawab teka-teki mengenai sokongan rangkaian yang akan dibawa oleh peranti ini.
Tambahan pula, Qualcomm telah mengeluarkan cip Snapdragon kelas pertengahan mereka tidak lama dahulu seperti Snapdragon 720G, 750G (yang digunakan pada A42) dan 765G. Walaupun 5G belum lagi dilancarkan secara rasmi di Malaysia, tetapi teknologi ini sudahpun digunakan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Lebih-lebih lagi apabila kebanyakkan syarikat telekomunikasi di seluruh dunia sedang bersaing untuk menyediakan rangkaian 5G yang terbaik kepada pengguna. Ini sekaligus akan menjadikan telefon pintar ini lebih relevan dalam tempoh masa yang lama apabila seluruh dunia sudah menyokong 5G kelak.
Menurut laman web Tom’s Guide juga, bateri telefon pintar siri Galaxy A52 dan A72 masing-masing dijangkakan akan ditingkatkan dari model A51 dan A71 yang lalu dimana bateri mereka yang lalu hanya 4000mAh dan 4500mAh sahaja. Malah, Samsung sendiri telah mengeluarkan bateri sebesar 7000mAh untuk telefon pintar M51 mereka. Jadi, ini tidak mustahil untuk siri Samsung Galaxy A untuk hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar bagi memberikan pengguna SOC yang lebih tinggi dari model sebelumnya.
Akhir sekali, kami juga menjangkakan bahawa Samsung juga akan memberi pilihan kepada orang ramai untuk mendapatkan telefon pintar Samsung Galaxy A52 dan A72 ini dengan rangkaian 4G tetapi pada tanda harga yang lebih rendah. Apa-apa pun, ini hanyalah ramalan dan jangkaan kami sahaja berkenaan telefon pintar ini. Jadi sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan telefon pintar ini, ikuti perkembangan daripada Samsung dari semasa ke semasa. Jika tahun lalu, mereka menggunakan slogan “Awesome Screen, Awesome Camera, Long Lasting Battery Life”, agaknya, slogan apa pula yang akan dibawa oleh telefon pintar siri Galaxy A untuk tahun ini?
Penafian: Advertorial daripada Samsung Malaysia