Carian
Twitter Bakal Memperkenalkan Sistem Amaran Untuk Penyebaran Berita Palsu Mengenai Vaksin COVID-19
March 2, 2021 Nazrin

Sejak wabak COVID-19 menular di seluruh dunia, Twitter telah memperkenalkan sejumlah ciri-ciri baru seperti melabelkan ciapan-ciapan dan pautan sebagai sumber berita sahih ataupun palsu di platform tersebut.

Walaupun begitu, isu penularan berita palsu mengenai COVID-19 masih lagi menular, dan oleh kerana ini, Twitter nampaknya bakal memperkenalkan label-label baru, dan sistem amaran baru untuk mengekang lagi penyebaran maklumat palsu ini.

Sama seperti apabila Twitter memperkenalkan label ciapan yang mungkin palsu ketika pengundian untuk Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, Twitter akan memperlihatkan label kicauan COVID-19 yang palsu pula.

Ciapan-ciapan ini juga akan hadir dengan pautan untuk berita-berita mengenai COVID-19 yang sahih untuk memastikan bahawa orang ramai faham mengapa sesebuah ciapan itu hadir dengan label maklumat tidak sahih.

Bukan itu sahaja, Twitter juga nampaknya akan memperkenalkan sistem amaran untuk mereka yang selalu menyebarkan berita palsu mengenai wabak ini.

Ini bukanlah kali pertama sistem amaran diperkenalkan untuk sesebuah topik. Tetapi untuk wabak COVID-19, pengguna akan disekat akses kepada akaun Twitter mereka selama 12 jam selepas tiga amaran, seminggu selepas empat amaran, dan penggantungan kekal selepas lima amaran.

Langkah tegas ini dilakukan oleh Twitter kemungkinan kerana cara-cara yang digunakan sebelum ini tidak cukup berkesan untuk menangani penularan maklumat kurang tepat dan palsu.

Komen