Cari @ Amanz

Perkhidmatan Bas Elektrik Kuching Akan Bermula Esok

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sistem perkhidmatan awam yang matang memudahkan segenap rakyat untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain dengan cepat. Implementasi tepat juga boleh membantu kerajaan mengurangkan kos perbelanjaan dan penjagaan kenderaan-kenderaan ini.

Kerajaan Sarawak nampaknya bakal melancarkan perkhidmatan bas elektrik pertama di Malaysia secara rasmi di sekitar bandar Kuching bermula hari esok (3 Mac 2021).

Menurut Menteri Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, perkhidmatan bas ini akan ditawarkan secara percuma, dan akan melalui sejumlah lokasi-lokasi yang sering dilawati orang ramai, termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Terminal Bas Kuching Sentral, pelbagai pusat-pusat membeli-belah dan sebagainya.

Sistem bas elektrik ini juga boleh dijejak menggunakan aplikasi Kuching Metro yang hadir dengan penjejak lokasi dan juga anggaran waktu sampai.

Sistem bas elektrik ini bermula dengan fasa ujian pada tiga tahun yang lalu dengan satu bas yang melalui 26 lokasi perhentian. Kini, dengan pelancaran rasmi, rakyat dan pelawat di Sarawak boleh menaiki salah satu daripada empat bas yang akan melalui 54 lokasi di seluruh bandar tersebut.

Buat masa ini, sistem bas elektrik ini akan ditawarkan di bandar Kuching dahulu, dan jika sambutannya cukup memberangsangkan, kerajaan negeri akan melihat jika ia boleh dilanjutkan ke bandar-bandar Sarawak lain seperti Sibu, Miri dan sebagainya.


Komen ()