Cari @ Amanz

WhatsApp sedia hadir dengan ciri yang dinamakan ‘mesej menghilang’ sebelum ini. Apabila ciri ini diaktifkan oleh pengguna, ia membolehkan mana-mana mesej terpadam secara automatik selepas seminggu ianya dihantar.

WhatsApp Menghilang
Ciri Mesej Menghilang

Dalam perkembangan terkini, WhatsApp dilihat mempunyai perancangan untuk memperluaskan penawaran ciri yang sama – tetapi untuk perkongsian imej pula. Di mana melaluinya, pengguna boleh berkongsi gambar dengan penerima. Kemudiannya, imej tersebut akan terpadam secara automatik selepas penerima meninggalkan ruang sembang berkenaan.

Memetik tangkap layar yang dikongsi, fungsi ini akan ditambah bersebelahan dengan kotak perkongsian gambar sedia ada untuk tujuan menghantar. Setelah gambar dihantar, apabila penerima menekan imej berkenaan akan terpaparnya satu tetingkap terapung yang bertulis: “This media will disappear once you leave this chat” (Media ini akan hilang, sebaik sahaja anda meninggalkan ruangan sembang ini).

Bermakna, penghantar boleh berkongsi imej dan kemudiannya, ia akan hilang secara automatik apabila penerima meninggalkan ruang sembang berkenaan. Dalam pada itu, WhatsApp turut mengatakan bahawa mereka tidak membenarkan mana-mana pengguna untuk mengeksport imej yang diterima itu. Tetapi, tidak diketahui lagi sama ada WhatsApp akan menambah sokongan untuk memberikan notifikasi sekiranya rakaman skrin diambil ketika gambar berkenaan dibuka atau sebaliknya.

Pun begitu, fungsi ini masih lagi dalam pembangunan dan akan menerima beberapa penambah-baikan sebelum ianya dilancarkan bagi versi penuh. Buat masa ini belum diketahui bilakah WhatsApp akan memperkenalkan ciri berkenaan. Tetapi ini semestinya merupakan salah satu ciri yang dinantikan ramai pengguna – terutamanya pada ciri sembang berkumpulan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd