Cari @ Amanz

Bagi meneruskan kesinambungan dalam membantu para perusahaan dan syarikat pemula (startup) untuk kekal bersaing dalam dunia perniagaan, kini Program Startup Global Accelerator Programme (GAP) telah memasuki musim kelima pada tahun ini.

Bertemakan “Accelerating Innovation for Economic Recovery”, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) selaku penganjur utama memaklumkan program kali ini akan menghasilkan inovasi yang lebih baik berbanding sebelum ini.  Di mana, mereka mencari peserta yang berpotensi untuk menghasilkan penyelesaian inovatif bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi menerusi penggunaan teknologi dan inovasi baharu.

Menurut MaGIC, fokus utama bagi program kali ini ialah meningkatkan lagi usaha-usaha dalam melengkapkan para startup dengan kemahiran yang sepatutnya – bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan di rantau ASEAN dengan lebih luas. Kemudian, peserta juga boleh memanfaatkan program NTIS, MyStartup Hub (MSH) dan Global Market Fit (GMP) yang disediakan untuk mendapatkan peluang lebih baik dalam mempercepat pertumbuhan perniagaan.

Seperti yang terdahulu, program tahun ini juga akan diadakan secara maya dan para startup terpilih akan menjalani latihan selama 3 bulan. Melaluinya, ia juga akan dipenuhi dengan pelbagai bentuk aktiviti – seperti sesi ceramah, bengkel, perbincangan dan sebagainya. Lebih menarik, program itu turut terdapatnya sesi perkongsian bersama mentor dan pakar teknikal dari syarikat-syarikat besar bertaraf dunia.

Dalam pada itu, para peserta juga akan dipantau dari semasa ke semasa untuk persediaan pada acara Demo Day yang akan berlangsung pada bulan September kelak. Bagi yang berminat, pendaftaran telah dibuka sehingga 31 Mac ini dan ia boleh dibuat menerusi pautan yang tersedia di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd