Selepas sekian lama berteka-teki, Vivo Malaysia akhirnya berkongsi lanjut mengenai penawaran harga untuk model terkini mereka. Bagi yang berminat, Vivo Y31 boleh didapati pada harga RM999 untuk seunit dan jualan pertama akan bermula pada Sabtu ini – iaitu 6 Mac 2021.

Lebih menarik, 20 orang terawal yang membuat pembelian pada hari jualan pertama sehingga 14 Mac 2021 – boleh mendapatkan Vivo wireless sport earphone yang dijual pada harga lebih murah RM149 bersama-samanya. Bukan itu sahaja, setiap pembelian turut didatangkan dengan jaminan waranti tambahan dan pelindungan skrin selama setahun secara percuma.

Untuk spesifikasi, Vivo Y31 hadir dengan skrin 6.58-inci IPS LCD FHD+ (2408 × 1080), dijana cip Snapdragon 662, bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 18W. Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 48-Megapixel (utama) + 2-Megapixel + 2-Megapixel. Sementara itu, kamera swafoto pula adalah sebesar 8-Megapixel bersama-sama dengannya. Spesifikasi lain termasuklah – sambungan port USB-C, menyokong Multi-Turbo 4.0, Audio Booster, pengimbas cap jari sisi, dua pilihan warna – iaitu Racing Black atau Ocean Blue dan sebagainya.