Razer Anzu Dilancarkan – Cermin Mata Pintar Dengan Speaker Terbina

Diterbitkan pada Mac 5, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer pagi ini melancarkan cermin mata pintar pertama mereka iaitu Razer Anzu. Ia bukanlah sebuah kaca mata dengan teknologi AR tetapi lebih menyerupai apa yang ditawarkan oleh Huawei dan Bose. Cermin mata pintar ini boleh ditambat kepada telefon pintar menerusi teknologi bluetooth.

Ini membolehkan muzik dimainkan menerusi speaker terbina pada tangkai dan dengan mikrofon ia turut boleh digunakan untuk menjawab panggilan telefon serta menyeru pembantu maya. Menurut Razer dengan sekali caj, Anzu boleh beroperasi sehingga lima jam sahaja. Untuk mengecasnya semula, sebuah tempat simpanan merangkap pod pengecas akan disertakan.

Dua rekaan ditawarkan iaitu bingkai bulat dan bingkai empat segi serta saiz kecil dan besar. Ciri menarik lain ialah terdapat sistem kawalan sesentuh pada bahagian tangkai dan cermin yang boleh menapis sinaran ultra ungu dan biru yang boleh merosakkan mata untuk jangka masa panjang. Kaca yang diberikan adalah jenis terang tetapi kaca mata hitam boleh dibeli secara berasingan. Ia boleh dibeli sekarang pada harga RM1090  sepasang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami