Vivo Mengacah Kehadiran Siri Vivo X60 Untuk Pasaran Tempatan

Vivo Mengacah Kehadiran Siri Vivo X60 Untuk Pasaran Tempatan

Diterbitkan pada Mac 8, 2021 oleh .

Vivo Malaysia hari ini dilihat telah memuat naik satu poster acah di laman Facebook mereka – yang memberi bayangan bahawa mereka bakal membawa masuk siri Vivo X60 ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Buat masa ini, Vivo tidak pula berkongsi lanjut secara khusus mengenai tarikh pelancaran dan jumlah model yang bakal ditawarkan. Tetapi, penggunaan perkataan ‘series‘ pada poster tersebut memberi bayangan akan terdapatnya lebih daripada satu model yang bakal tiba.

Seperti biasa, Vivo pastinya akan berkongsi dengan lebih lanjut mengenainya dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita nantikan perkembangannya untuk menjawab segala persoalan yang bermain di benak fikiran ketika ini.

Vivo X60 & Vivo X60 Pro

Siri Vivo X60 telah dilancarkan di China sebelum ini – dengan tiga model berbeza iaitu Vivo X60, Vivo X60 Pro dan Vivo X60 Pro+. Untuk spesifikasi, penawaran yang dibawakan oleh ketiga-tiganya adalah lebih kurang sama.

Di mana, ianya hadir dengan skrin 6.56-inci dengan panel AMOLED dan kadar segar semula 120Hz, serta sokongan HDR10+. Selain itu, ia dijana cip Exynos 1080 5nm, memori sehingga 12GB RAM LPDDR5, storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1 dan kamera hadapan 32-Megapixel.

Vivo X60 Pro+

Untuk rakaman gambar, ia menggunakan kamera 48-megapixel dibelakang dilengkapi sensor 13-megapixel ultra lebar, 13-megapixel potrait. Tetapi, versi Pro turut menyertakan sensor tambahan 8-megapixel untuk sokongan zum sehingga 60X. Sementara itu, Vivo X60 Pro+ pula menggunakan sensor 50-Megapixel + 48-Megapixel (IMX598) + 32-Megapixel + 8-Megapixel (zum sehingga 60x). Ketiga-tiga model ini menawarkan penjenamaan Zeiss.

Selain itu untuk bateri pula, variasi biasa hadir dengan bateri 4300mAh. Sementara itu, versi Pro pula hadir dengan bateri 4200mAh dengan pengecasan pantas 33W. Untuk versi Pro+ pula, ia menggunakan bateri 4,200mAh dengan pengecasan pantas 55W.


Paling Popular