Carian
Twitter Spaces Kini Mula Diperkenalkan Kepada Lebih Ramai Pengguna
March 8, 2021 Nazrin

Sejak populariti Clubhouse semakin meningkat, pelbagai platform media sosial yang lain seperti Facebook, ByteDance, Twitter dan sebagainya juga memperlihatkan platform perbualan mereka sendiri.

Twitter baru-baru ini dilihat menguji ciri Twitter Spaces mereka, dimana sekumpulan kecil pengguna boleh memasuki satu ruang dan berbual diantara satu sama lain. Sebelum ini, ciri ini dilihat diuji pada sejumlah kecil pengguna Twitter, tetapi nampaknya ia telah mula diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna.

Baru sahaja tadi, kami telah menerima jemputan untuk menggunakan Twitter Spaces, dan secara ringkasnya, corak penggunaannya hampir sama dengan Clubhouse, tetapi tidak mempunyai sejumlah ciri dan kapasiti yang sama dengan platform perbualan tersebut.

Buat masa ini, jemputan Spaces dilihat masih lagi terhad kepada pengguna Twitter di iPhone, tetapi boleh dimasuki oleh mana-mana pengguna Twitter yang melihat ikon bilik Spaces di bahagian Fleets, tidak kira mereka menggunakan peranti iPhone ataupun Android.

Buat masa ini, jumlah pengguna yang bercakap didalam sebuah ruang Spaces ialah terhad kepada 10, termasuklah hos Spaces tersebut, dimana hanya ada seorang sahaja. Jika hos meninggalkan ruang tersebut, perbualan tersebut akan berakhir serta-merta.

Walaupun begitu, jumlah pengguna yang boleh menyertai ruang Spaces tidak mempunyai sebarang had buat masa ini. Dalam pada itu, buat masa ini, hanya pengguna Twitter untuk iPhone dan Twitter Beta untuk Android boleh memulakan ruang Spaces ini.

Jika anda telah menerima jemputan untuk menggunakan Twitter Spaces, anda boleh menekan panjang ikon Tweet, dan ia akan menunjukkan sejumlah ikon, termasuklah ikon memulakan Spaces, dimana anda boleh menetapkan peraturan untuk ruang tersebut.

Komen