Dell G15 diumumkan hari ini sebagai komputer riba untuk penggemar permainan video kental mudah alih. Ia dilengkapi skrin 15.6″ yang menyokong kadar segar semula sehingga 360Hz. Dell tidak berkongsi banyak maklumat mengenai spesifikasi kecuali ia akan ditawarkan dengan kad grafik NVIDIA siri RTX 3000.

Papan kekuncinya pula mempunyai empat zon RGB yang menyokong sistem lampu AlienFX. Tak berakhir di sini, DNA Alienware turut ditemui pada sistem penyejukan yang ditambah baik untuk memberikan prestasi maksimum sepanjang masa. Dapat dilihat rekaan tubuh G15 yang menyerupai rekaan Alienware M15 yang klasik. Beberapa port USB-A, port LAN dan HMDI turut dapat dilihat pada imej yang dikongsi.

Pada waktu ini Dell G15 hanya ditawarkan di China terlebih dahulu dengan perancangan menawarkannya ke pasaran global menjelang penghujung tahun. Tiada maklumat mengenai harga diumumkan pada waktu ini. Mereka yang berminat boleh membelinya dalam empat pilihan warna Spector Green with Speckles, Phantom Grey with Speckles, Dark Shadow Grey, dan Obsidian Black.