Carian
Mencuba Twitter Spaces – Masih Awal Untuk Mencabar Clubhouse
March 9, 2021 Ikhwan Nazri

Semalam sewaktu artikel Twitter Spaces mula diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna, saya berkesempatan mengendalikan ruang tersebut untuk beberapa jam disamping mencuba pelbagai situasi pada ruang tersebut. 

Sebelum saya memulakan perkongsian ini, saya akan mulakan dengan istilah-istilah pada Twitter Spaces. Spaces merujuk kepada ‘ruang maya’ yang diwujudkan oleh pengguna Twitter yang boleh mencipta Spaces digelar sebagai Host / Penganjur, kemudian disertai dengan pengguna yang lain. Melalui tetapan awal, Penganjur / Host boleh menetapkan sekiranya sesiapa sahaja boleh menjadi Penceramah / Speaker, atau menetapkan hanya mereka yang mengikuti (Followers) penganjur yang boleh menjadi penceramah dan pada satu masa hanya terdapat 10 penceramah, dan 1 sahaja penganjur. 

Terdapat lagi satu pilihan tetapan membolehkan penganjur menjemput pendengar untuk menjadi penceramah (Invite to speak). Pilihan untuk mencipta Spaces ini hanya boleh untuk pengguna Twitter yang menetapkan akaun mereka secara awam / Public, dan pengguna yang mengunci akaun mereka untuk tujuan privasi (Private Account) tidak boleh mencipta Spaces.

Buat masa ini, fungsi mencipta Spaces hanya terhad kepada pengguna iPhone sahaja memandangkan fungsi tersebut boleh diakses dengan menekan butang New Tweet dengan lama, dan ikon Spaces akan terpapar. Atau dengan cara menekan butang Add pada ruangan Twitter Fleets, dan memilih Spaces pada kanan sekali. Namun begitu yang lebih menarik ramai pengguna adalah pengguna Twitter pada Android dapat menyertai Spaces menerusi paparan pada Fleets, satu perkara yang membuatkan pengguna Android tidak ketinggalan. 

Anda juga boleh mengubah nama Spaces pada bila-bila masa selagi mana anda seorang Penganjur.

Kelebihan

Salah satu perkara paling menarik dalam Spaces adalah pengguna boleh memberikan 5 jenis reaksi pada bila-bila masa. Ini boleh menambahkan interaksi dalam Spaces, seperti contoh penganjur atau penceramah boleh bertanyakan jika mereka setuju dengan hujah tersebut, dan memberikan reaksi ✌🏻dan emoji itu akan terpapar pada gambar profail mereka. Selain dari itu, reaksi pengguna yang berada dibawah juga akan dipaparkan sekaligus membolehkan penganjur atau penceramah sedar akan interaksi tersebut.

Terdapat juga pilihan fungsi transkripsi secara langsung membolehkan pengguna melihat sarikata untuk ucapan penceramah. Walaupun fungsi tersebut lebih kearah transkripsi Bahasa Inggeris, ia mungkin tidak mengambil masa yang lama sebelum fungsi transkripsi itu akan tersedia untuk bahasa lain. 

Dan memandangkan anda sedang menggunakan Twitter untuk mengendalikan Spaces, anda juga masih boleh kembali kepada Timeline dan menghantarkan sebarang kicauan. Ini agak berbeza berbanding Clubhouse dimana mungkin anda perlu mengarahkan pengguna untuk pergi ke laman-laman tertentu, dan mungkin sedikit menyusahkan untuk pendengar. Tidak mustahil juga sewaktu mengendalikan Spaces, anda boleh membuat undian pada akaun Twitter anda, dan sekaligus kesemua maklumat sebegitu dapat direkodkan. 

Sekiranya anda ingin berkongsi Spaces yang telah dicipta, terdapat pilihan untuk berkongsi pada garis masa anda, dan ia dipaparkan dalam paparan yang menarik, malah akan memaparkan sekiranya Spaces tersebut telah tamat.

Kekurangan 

Buat masa ini, masalah paling utama adalah pepijat dan penggunaan tenaga yang tampak tinggi untuk fungsi ini. Ini kerana sewaktu menggunakan Spaces, paparan garis masa Twitter Timeline masih dikemaskini. Dan sekiranya anda menetapkan gambar/video untuk dipaparkan, ia pastinya akan menggunakan kuasa pemprosesan telefon anda. 

Malah jika dilihat pada penggunaan reaksi oleh pendengar, ia juga boleh meningkatkan penggunaan tenaga. Menurut beberapa pembaca, baik menggunakan Android mahupun iPhone, penggunaan Spaces memang menggunakan banyak tenaga, malah penyusutan bateri dari 20% – 6% dalam masa 15 minit. 

Jika anda menggunakan Clubhouse, anda dapat melantik pendengar lain sebagai pengendali (Moderator). Pengendali boleh menjemput pendengar yang lain untuk menjadi penceramah. Dalam hal ini, tiada sesiapa dapat membantu penganjur untuk mengendalikan atau menjemput pendengar lain untuk berceramah. 

Setiap ruang Spaces adalah bergantung kepada pengendalinya (dilabel sebagai Host). Ini menyebabkan sebarang gangguan sambungan kepada pengendalinya boleh menyebabkan Spaces itu tamat serta merta. Malah jika penceramah menghadapi gangguan sambungan, mereka juga akan menjadi pendengar secara automatik. 

Berbeza dengan Clubhouse yang menyertakan pelbagai Room dengan pelbagai tajuk yang sedang berlangsung, untuk seseorang pengguna Twitter, Spaces yang tersedia hanya terhad kepada Spaces yang dicipta oleh pengguna dan pengikutnya. Sekiranya seseorang pengguna itu tidak mengikuti ramai pengguna lain, mungkin dia tidak akan menemui Spaces lain beserta topik yang lain. 

Dan baru sahaja beberapa hari lepas pengguna Clubhouse di Malaysia menerima fungsi Club, yang membolehkan pengguna menyertai ‘kelab’ dan mengikuti kemaskini secara terus apabila terdapat sebarang Room yang dicipta.

Dari segi privasi pula, sekiranya pengguna Twitter dihalang dari mengikuti pengguna lain, mereka masih boleh melihat dan mendengar antara satu sama lain pada Spaces.


Berdasarkan percubaan awal, boleh dikatakan Twitter masih lagi di peringkat awal untuk bersaing dengan Clubhouse namun perlu diingatkan Twitter mempunyai jumlah pengguna yang besar dan telah sedia menyokong pengguna Android justeru Twitter mampu mengalahkan Clubhouse pada bila-bila masa seandainya fungsi Spaces ini menjadi tujuan utama mereka.

Sekiranya Twitter berjaya mengimplementasi Space Discoverability sama seperti senarai Room pada Clubhouse, membolehkan pengguna mencari Spaces lain yang menarik tanpa perlu mengikut pengguna lain, ia mungkin boleh mencabar Clubhouse secara serius.

Namun Clubhouse mungkin akan sentiasa menjadi pelopor dalam aplikasi sosial berasaskan audio, sama seperti Snapchat yang masih popular walau tidak mempunyai pengguna ramai seperti Twitter dan Facebook, dan fungsinya diadaptasi pada platform yang lain. 

Komen