Carian
(Ura-Ura) Qualcomm Mungkin Akan Hadir Dengan Cip Snapdragon 888 Lite Tanpa Modem 5G Untuk Peranti Mercu Lebih Mampu Milik
March 9, 2021 Fahim Zahar

Qualcomm Snapdragon 888 adalah cip pemprosesan peranti mercu Android yang dibina berasaskan rekaan 5nm dan bersaing dengan Exynos 2100 dan Apple A14. Cip ini digunakan pada banyak peranti mercu termasuk peranti memfokuskan permua. Qualcomm dikatakan tidak akan hadir dengan versi “+” seperti tahun lepas dengan Snapdragon 865 yang mempunyai versi Snapdragon 865+.

Sebaliknya, Qualcomm hadir dengan versi yang kurang berkuasa – iaitu Snapdragon 870. Cip ini berada di antara 865+ dan 888 dan pengguna boleh menikmati peranti berkuasa pada harga lebih mampu milik. Terkini, Ronald Quandt iaitu peniris terkenal menciap yang Qualcomm mungkin akan hadir dengan Snapdragon 888 Lite. Cip ini dikatakan tidak mempunyai modem Snapdragon X60 terbina. Kod nama bagi cip ini adalah SM8325, yang mana lebih kurang sama dengan Snapdragon 888 yang menggunakan kod nama SM8350.

Peranti Snapdragon 888 dijual pada harga tinggi kerana kos cip yang mahal dan mempunyai modem 5G terbina. Jika benar Qualcomm akan tawarkan versi Lite ini, kos akan berkurangan dan pengeluar bebas memilih modem 5G atau terus tidak sertakannya agar sebuah peranti yang dijana cip Snapdragon 888 boleh dijual pada harga lebih murah. Mana tahu, tahun ini bawah RM2000 sebuah peranti seperti ini boleh didapati. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Komen