Mobvoi kini hadir dengan peranti boleh-pakai baharu yang dikenali sebagai TicWatch Pro S. Ia merupakan pengganti kepada TicWatch Pro (2020) yang dilancarkan tahun lalu dan hadir dengan pelbagai penambahbaikan ketara.
Dari segi binaan, jam tangan ini menggunakan reka bentuk klasik dengan muka jam berbentuk bulat bersama dua butang fizikal yang terbina pada sisi muka jam. Seterusnya, tali yang disertakan pula menggunakan bahan berasaskan kulit hibrid.
Untuk spesifikasi, TicWatch Pro S menggunakan skrin bersaiz 1.39-inci AMOLED dengan resolusi 400 x 400 piksel. Jam tangan ini juga menggunakan konsep dwi-paparan sama seperti sejumlah model pro yang boleh dilihat sebelum ini. Seterusnya, ia dikuasai oleh cip Snapdragon Wear 2100, memori 1GB RAM, storan dalaman 4GB dan bateri 415mAh dengan ketahanan maksimum 30 hari. Ia turut kekal menggunakan perisian WearOS.
Dari segi fungsi, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan dan kecergasan yang bersesuaian untuk mempraktikkan gaya hidup sihat. Ia termasuklah – TicSleep 2.0 untuk pemantauan tidur yang lebih baik, TicBreathe yang memantau kadar denyutan jantung, pengesan gyroscope, accelerometer, sensor cahaya ambien dan banyak lagi. Ia juga dilengkapi sehingga 13 mod sukan berbeza untuk kemudahan pengguna.
Spesifikasi lain termasuklah – kemampuan kalis air IP68, dilengkapi pembesar suara, bluetooth 4.2 Google Pay, penarafan MIL-810G dan banyak lagi. Untuk harga, ia dijual pada harga $259 (~RM1,068) dan boleh didapati dalam pilihan warna hitam. Buat masa ini ia ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat, UK dan Eropah terlebih dahulu.