Carian
Chrome OS Dikemaskini Dengan Ciri-Ciri Baharu Sempena Ulang Tahun Ke-10
March 10, 2021 Effi Saharudin

Sempena ulang tahun ke-10 sistem operasi komputer riba Chromebooks hari ini, ChromeOS telah diberikan beberapa ciri baharu yang menjadikannya lebih mudah digunakan bersama dengan peranti pintar. Kesemua ciri-ciri di bawah ini akan diberikan secara berperingkat menerusi M89 Chrome OS .

Phone Hub

Pertama sekali ialah Phone Hub yang membolehkan telefon pintar Android dikawal sepenuhnya dari Chromebook. Pada Chrome OS Shelf akan terdapat ikon telefon pintar Android yang boleh dikawal. Dari sini tahap bateri, notifikasi yang diterima, mengawal hotspot, menjejak lokasi telefon dan membuka dua tab Chrome dari peranti ke Chromebook boleh dilakukan. Membalas mesej yang diterima di telefon dalam Chromebook turut boleh dilakukan.

Tangkapan Video dan Gambar Skrin

Kedua ialah kemampuan melakukan tangkapan skrin dalam bentuk video dan gambar. Ia kemudiannya boleh disunting untuk meletakkan anotasi yang berkenaan dengan mudah. Ciri ini boleh diakses terus dari talam Quick Settings Chromebook.

Wi-Fi Sync

Ketiga ialah Wi-Fi Sync pula menyelarikan rangkaian WiFi yang pernah digunakan. Ia mengingati kesemua WiFi yang pernah digunakan bagi membolehkan sambungan automatik dilakukan.

Tote

Dengan Tote kesemua fail-fail yang baru dimuat turun, fail yang telah dipin oleh pengguna dan tangkapan layar akan diletakkan pada Shelf secara setempat. Pengguna boleh mengakses kesemua ini dengan pantas tanpa perlu mengorek fail-fail dimana ia dimuat turun.

Clipboard

Clipboard menyimpan sehingga lima kandungan yang telah disalin secara setempat. Pengguna kemudian boleh memilih untuk menampal kandungan ini secara satu persatu atau kesemuanya sekali .

Quick Answers

Dengan ciri ini mencari jawapan pantas terus dari Chrome boleh dilakukan. Pilih perkataan yang ingin dicari maknanya sebelum melakukan klik kanan untuk menggunakan Quick Answers. Definisi perkataan atau mengubah unit sukatan boleh dilakukan terus tanpa perlu membuka tab baharu untuk carian Google secara manual.

Kawalan Media

Kawalan media ditambah baik dengan ia dipaparkan dalam Quick Settings. Kemudian apabila ia ditekan menu dengan kawalan lebih besar boleh dilihat. Pengguna boleh mem-pin Media Control terus ke Shelf dari skrin ini untuk kawalan media lebih pantas.

Desks Diperhebat

Desks kini akan mengingati kesemua tetingkap yang dibuka sebelum komputer dimatikan dan mengembalikannya semula. Menguruskan pelbagai Desks juga lebih mudah dengan melakukan tatalan empat jari pada trackpad.

Komen