Pandang Pertama ROG Phone 5 – Alaf Baru Peranti Gaming Bermula Di Sini

Diterbitkan pada Mac 10, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Dengan pelancaran cip pemprosesan kelas mercu Qualcomm Snapdragon 888 pada penghujung tahun lepas, kita nampaknya bakal memperlihatkan sejumlah peranti pintar premium yang menggunakan komponen tersebut di pasaran tempatan tidak lama lagi.

Salah satu daripadanya ialah ROG Phone yang dikenali untuk mempopularkan konsep peranti pintar gaming yang memfokuskan kepada prestasi pemprosesan dan pengolahan grafik untuk pengguna. Peranti-peranti ROG Phone lazimnya diumumkan pada pertengahan tahun sekitar acara teknologi Computex Taipei, tetapi pada tahun ini, untuk model keempat mereka, ROG Phone 5, mereka nampaknya bakal melancarkannya lebih awal lagi.

Spesifikasi Dan Rekaan

ROG Phone 5
Skrin 6.78″ Samsung AMOLED
PemprosesQualcomm Snapdragon 888
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Cip GrafikQualcomm Adreno 660
RAM8/16/18GB
Muatan Dalaman128/256/512GB
Kamera Utama64 Megapixel
Kamera Swafoto24MP
Bateri600mAH
Pengecasan berwayar: 65W
Pengecasan nirwayar: Tiada
SIM/TelefoniDwi-SIM
NFCAda
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah dan Cap Jari Bawah Skrin
Harga JualanBermula dari RM2999

Bermula dengan spesifikasi dalaman peranti ini, seperti yang dikatakan sebelum ini, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888 dengan pilihan memori 8GB ataupun 16GB dan storan 128GB ataupun 256GB.

Untuk pasaran Malaysia, gabungan memori dan storan 8GB/128GB dan 16GB/256GB ditawarkan dan pada hemat kami, ia mencukupi untuk menggerakkan semua permua-permua moden yang memerlukan storan yang banyak dan kemampuan pemprosesan yang berkuasa.

Dari segi ciri-ciri terbina, ROG Phone 5 hadir dengan teknologi log masuk menggunakan imbasan wajah dan juga cap jari dalam skrin terbina, dimana ia sudahpun menjadi fungsi wajib hadir pada peranti kelas premium seperti ini.

ROG Phone 5 menggunakan paparan skrin Samsung AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 2340×1080 dan mempunyai kadar segar semula sepantas 144Hz dan kadar sentuhan 300Hz. Ia juga menyokong teknologi HDR10+ yang boleh dimanfaatkan oleh perkhidmatan penstriman video seperti Netflix.

Kami diberitahu dalam kemaskini yang akan datang, akan ada fungsi dimana ciri HDR ini boleh diaktifkan secara automatik bergantung kepada aplikasi yang digunakan.

Paparan ROG Phone 5 ini juga menggunakan skrin Gorilla Glass Victus, iaitu versi Gorilla Glass terbaru yang dikatakan boleh menahan jatuh dari ketinggian 2 meter dan lebih tahan calar berbanding dengan variasi Gorilla Glass sebelum ini.

Rangka belakang peranti ini pula menggunakan Gorilla Glass 5, yang dikatakan cukup baik untuk melindungi peranti daripada calaran-calaran kecil.

Bahagian belakang ROG Phone 5 juga memperlihatkan rekaan yang jauh lebih minimalis berbanding sebelum ini. Ia hadir dengan rangka berwarna hitam ataupun putih bergantung kepada model warna yang anda pilih, sama ada Phantom Black ataupun White Storm.

Logo mata ROG yang tertera di belakang hadir dengan fungsi nyalaan LED berwarna yang boleh diubahsuai coraknya melalui perisian terbina.

Dari segi palam I/O pula, ROG Phone 5 hadir dengan dua palam USB Type-C yang boleh digunakan untuk mengecas peranti ini dan menguasakan aksesori-aksesori terbina, iaitu salah satu gimik yang sangat berfungsi khususnya jika anda seorang pemain permua yang tegar.

Bercakap mengenai pengecasan, ROG Phone 5 hadir dengan teknologi pengecasan HyperCharger mereka sendiri, dimana pada hemat kami ialah QuickCharge 5 yang dijenamakan semula. Menurut ASUS, ROG Phone 5 ini boleh dicas dari kosong hingga penuh dalam masa satu jam sahaja.

Jika jangkamasa pengecasan ini tidak begitu memberangsangkan, ini ialah kerana ROG Phone 5 dimuatkan dengan sebuah bateri 6000mAH yang cukup besar sekali. Untuk pengecasan yang lebih sekata dan selamat, bateri ini dipisahkan kepada dua bateri 3000mAH yang terbina didalamnya.

Kamera

ROG Phone 5 ialah sebuah peranti yang memfokuskan kepada prestasi gaming sahaja, tetapi ia masih lagi hadir dengan sebuah sistem kamera yang boleh kami katakan agak baru. Ia hadir dengan sistem kamera yang menggunakan sensor Sony IMX 686 yang hadir dengan kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 13MP dan kamera makro 5MP.

Ia juga hadir dengan kamera pandang hadapan 24MP, dan seperti yang dikatakan sebelum ini, boleh digunakan sebagai sistem pengimbasan wajah sebagai fungsi sekuriti peranti ini.

Ujian awal sistem kamera peranti ini memperlihatkan bahawa gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera biasa dan kamera swafoto boleh dikatakan agak baik, tetapi apabila mengambil gambar ultra-lebar, kualitinya jatuh dengan agak teruk, dari segi herotan gambar dan juga kualiti imej keseluruhan.

Walaupun begitu, seperti yang saya katakan juga sebelum ini, ROG Phone 5 ialah sebuah peranti yang memfokuskan kepada kemampuan gaming, dan pada pendapat saya, ia sekadar cukup baik untuk mengambil gambar biasa-biasa sahaja.

Sistem Operasi Dan Perisian

ROG Phone 5 hadir dengan sistem operasi Android 11 terus dari kotak, dan sama seperti peranti-peranti ROG Phone sebelum ini, menggunakan antaramuka ROG UI yang memfokuskan kepada pengalaman gaming yang terbaik.

Aplikasi Armory Crate ialah sebuah perisian yang cukup dikenali jika anda menggunakan siri komputer gaming keluaran ASUS. Aplikasi ini membolehkan anda menukar sejumlah besar tetapan-tetapan didalam peranti ROG Phone ini, termasuklah warna logo ROG di bahagian belakang peranti, kemampuan lewahjam cip pemprosesan Snapdragon 888, dan juga kelajuan aksesori kipas penyejuk AeroActive Cooler.

Selain daripada itu, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk menetapkan prestasi aplikasi-aplikasi terbina, khususnya untuk permua-permua yang mungkin akan memanfaatkan kuasa pemprosesan yang lebih berkuasa. Perisian ini juga boleh mengesyorkan aplikasi permua popular yang boleh dimuat-turun jika anda bosan dengan permua-permua sedia ada.

Didalam permainan, anda boleh menatal menu kecil dari sisi skrin untuk mengakses sejumlah besar mod permua, seperti mod rakaman, ubahsuai mod Air Trigger, pengecasan perlahan, mengubah kadar segar semula skrin dan sebagainya.

Prestasi Dan Gaming

Setakat ini, saya boleh katakan bahawa ROG Phone 5 ialah peranti mercu Android yang paling berkuasa setakat ini. Kami menjalankan aplikasi penanda-aras Antutu dan Geekbench, dan mendapat nilai skor yang tertinggi,

Skor penanda-aras Geekbench memperlihatkan nilai 1126 untuk ujian satu teras dan 3628 untuk ujian multi-teras, dan 733,666 untuk skor keseluruhan Antutu, iaitu yang tertinggi pernah kami lihat untuk sebuah peranti Android setakat ini.

Kami juga sempat bermain Genshin Impact untuk seketika, iaitu permua yang sangat memakan kuasa pemprosesan dan dengan beberapa perubahan dari segi tetapan grafik, menggabungkan tetapan tinggi dan sederhana, kami boleh menggerakkan permainan ini pada kadar sekitar 60FPS.

Digabungkan dengan ciri butang maya Air Trigger, pengalaman bermain Genshin Impact adalah sesuatu yang mengasyikkan, dan saya berani kata bahawa inilah pengalaman terbaik bermain permainan tersebut pada sebuah peranti pintar setakat ini.

Dengan kipas penyejuk AeroActive Cooler, kami mendapati bahawa suhu cip pemprosesan Snapdragon 888 adalah serendah 45-47 didalam permainan. Bagi saya, apabila bermain permua, suhu ini boleh saya katakan agak panas, tetapi ia tidaklah sehingga tahap dimana saya tidak boleh memegang peranti ini.

Aksesori

Sama seperti model-model sebelum ini, ROG Phone 5 juga hadir dengan sejumlah aksesori-aksesori yang boleh dibeli jika diingini.

Ini termasuklah kipas penyejuk AeroActive Cooler 5, pengawal permainan ROG Kunai 3, fon telinga ROG Cetra II Core dan Lightning Armor Case yang boleh dibeli secara berasingan jika diingini.

Model Tambahan

ASUS juga bakal memperkenalkan dua lagi model ROG Phone 5, iaitu ROG Phone 5 Pro dan ROG Phone 5 Ultimate yang mempunyai paparan ROG Vision di bahagian belakang dimana orang ramai boleh melihat animasi tambahan dan juga status seperti mesej yang baru masuk, panggilan dan sebagainya.

ROG Phone 5 Pro akan hadir dengan storan terbina sebesar 512GB, manakala ROG Phone 5 Ultimate hadir dengan rekaan monokrom dan adalah satu-satunya model dalam siri peranti ini yang mempunyai memori 18GB.

Penutup

Pengalaman awal saya dengan ROG Phone 5 ini ialah kita akhirnya akan mula melihat peranti pintar gaming yang benar-benar dibangunkan untuk tujuan gaming. Dari penambahbaikan kepada ciri Air Trigger, kemampuan melewahjam yang lebih efisyen, dan juga ciri-ciri baru yang terbina didalamnya, saya berasa tidak sabar untuk mengulas peranti ini dalam masa terdekat ini.

Buat masa ini, ROG Phone 5 inilah peranti yang saya akan gunakan saban hari untuk melakukan aktiviti-aktiviti harian di Genshin Impact.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami