Cari @ Amanz

Siri OnePlus 9 akan dilancarkan pada 23 Mac ini. Buat pertama kalinya, OnePlus bekerjasama dengan jenama kamera popular untuk menawarkan kemampuan kamera yang lebih hebat. Jenama yang OnePlus pilih adalah Hasselblad. OnePlus dijangka akan hadir dengan tetapan kamera 48MP + 50MP + 8MP + 2MP, yang mana ini mungkin adalah tetapan untuk variasi Pro. Jika ada perubahan mungkin lensa 50MP itu akan ditukar untuk model dengan spesifikasi yang lebih rendah.

Pete Lau baru-baru ini telah menciap yang salah satu peranti OnePlus 9 disahkan akan hadir dengan kamera 50MP. Sensor yang digunakan adalah dari Sony, iaitu IMX766. Sensor ini adalah untuk lensa sudut ultra lebar dan juga mampu menawarkan kualiti yang lebih jelas. Lensa ini juga mungkin adalah jenis free-form, di mana ia boleh mengurangkan kesan herotan. Lensa ini adalah yang sama digunakan pada peranti Oppo Reno5 Pro+ yang dilancarkan sebelum ini. Pete Lau turut berkongsi hasil gambar, ia memperlihatkan beza ketara dari ada kesan herotan dan tiada.

 OnePlus juga akan menggunakan lensa binaan khas Sony IMX789, yang mana dikatakan menyokong warna 12-bit RAW, rakaman video 8K30FPS, 4K60FPS, dan akan menawarkan sains warna dari Hasselblad. Dengan rekaan yang sedikit mirip dengan Oppo Reno5, tidak mengejutkan jika tetapan kamera ada persamaan sedikit. Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd