Cari @ Amanz

Saintis Ingin “Bahtera Nabi Nuh” Di Permukaan Bulan Bagi Menyimpan Flora Dan Fauna Bumi

Link Copied!

Dianggar 150 spesis flora dan fauna di muka bumi pupus setiap hari kerana kehilangan habitat, perubahan iklim dan campur tangan manusia. Sebelum kepupusan total berlaku, saintis telah memulakan projek mengumpul benih dan sampel biologi kesemua flora serta fauna bumi yang disimpan di peti bawah tanah yang terletak di Norway. Tetapi ini belum cukup selamat kerana masih disimpan di muka bumi. Jika meteor menghentam seperti filem Armageddon kesemua khazanah yang disimpan akan lenyap.

Oleh itu Jekan Thanga seorang penyelidik dari University of Arizona mencadangkan supaya sebuah peti bawah tanah dibina pula di permukaan bulan. Beliau mendapat inspirasi dari kisah Bahtera Nabi Nuh dimana kesemua spesis haiwan diselamatkan dari banjir besar yang melanda bumi. Apabila diletakkan di bulan, isu peti bawah tanah tenggelam apabila aras air laut meningkat dan musnah akibat hentaman meteor dapat dielakkan. Untuk membawa kesemua 6.4 juta spesimen ke bulan, sebanyak 250 penerbangan roket perlu dilakukan dari bumi.

Bahtera Nabi Nuh moden ini akan dibina di dalam tiub lava yang ditemui di permukaan bulan. Ianya rompong maka penggalian terowong tidak perlu dilakukan kerana sudah sedia wujud. Sementara itu suhu tiub lava adalah -25 °C dan kering. Walaupun suhu ini sudah cukup rendah, sampel benih dari bumi akan disimpan pada suhu lebih rendah -180 °C manakala sampel sel tunjang pula disimpan pada suhu -196 °C bagi memastikan ia akan terpelihara untuk generasi akan datang. Oleh itu sistem penyejukan kriogenik akan digunakan dengan kuasa elektrik dijana sepenuhnya menggunakan kuasa solar.

Pada waktu ini projek ini masih sekadar konsep dan mungkin dilihat aneh. Tetapi hanya 100 tahun lalu idea menghantar manusia ke angkasa lepas, membina stesen angkasa lepas dan mendarat di permukaan planet juga dianggap aneh serta mustahil.


Komen ()