Imej Pengolokan Rasmi OnePlus 9 Dan OnePlus 9 Pro Tertiris Sepenuhnya

Imej Pengolokan Rasmi OnePlus 9 Dan OnePlus 9 Pro Tertiris Sepenuhnya

Diterbitkan pada Mac 11, 2021 oleh .

Dalam dunia ini tidak banyak benda boleh dirahsiakan dari pengetahuan umum. Rekaan dan spesifikasi telefon pintar yang belum dilancarkan ialah rahsia yang pastinya akan tertiris dengan amat mudah sejak lima tahun kebelakangan ini. Hari ini Winfuture sekali lagi menjadi media yang bertanggungjawab meniriskan imej pengolokan rasmi peranti dengan OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro menjadi mangsa terkini.

Imej yang tertiris mengesahkan kerjasama di antara OnePlus dan Hasselblad yang menjanjikan prestasi fotografi yang lebih baik dari yang pernah dilihat sebelum ini. Dari segi rekaan pula, pada bahagian hadapan ia amat menyerupai Oppo Find X3 Pro yang akan dilancarkan hari ini. Skrin penuh mempunyai sebuah lubang kamera pada bucu atas kiri.

Pada bahagian belakang perbezaan mula dapat dilihat dengan susunan kamera tri-kamera utama secara menegak pada pada model OnePlus 9. Pada model OnePlus 9 Pro pula dua lensa utama disusun menegak dan dua lagi secara mendatar. Bonggol kamera pada kedua-dua model kelihatan rendah dan tidak landai seperti pada X3 Pro. Ini adalah berita baik bagi mereka yang membenci rekaan peranti bonggol seperti unta Baghdad.

Laras membisukan peranti dan butang kuasa diletakkan pada sisi kanan. Laras audio pula terletak di sisi bertentangan. Tidak dapat dilihat bahagian bawah dan atas tetapi pastinya terdapat kekisi audio serta port pengecasan USB-C. OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro akan dilancarkan pada 23 Mac kelak. Sebelum tarikh tersebut kesemua spesifikasi peranti pastinya juga akan tertiris ke arena web.


Paling Popular