Platform media sosial bermula sebagai tempat untuk mengeratkan pertalian silaturahim sebelum berevolusi menjadi tempat penyebaran teori konspirasi dan berita palsu paling utama. Ini adalah malang kerana tanpa media sosial, gerakan penentangan seperti Arab Spring dan Pergerakan Teh Susu Myanmar mungkin tidak akan berlaku. Kerajaan-kerajaan dunia mula menyedari betapa berkuasanya platform media sosial untuk menumbangkan mereka.
Kerajaan Rusia kini mengugut akan menghalang akses Twitter di negara mereka jika “kandungan yang diharamkan” tidak dibuang dari platform. Mereka mendakwa kandungan berunsur pedofilia, penggunaan dadah dan menggalakkan remaja membunuh diri bebas disebarkan dalam Twitter dengan kesemua arahan untuk membuangnya tidak diendahkan oleh Twitter. Oleh itu Twitter akan diberikan sejumlah masa untuk membuang kandungan yang diharamkan oleh kerajaan. Kegagalan untuk mengikuti perintah ini akan mengakibatkan perkhidmatan diperlahankan di Rusia sebelum dihalang sepenuhnya.
Tetapi Twitter berkata ini adalah tidak benar sama sekali kerana platform mempunyai polisi toleransi sifar ke atas kandungan-kandungan berunsur lucah kanak-kanak, membahayakan kanak-kanak dan menggalakkan bunuh diri. Amaran ini besar kemungkinan berkait rapat dengan Twitter digunakan sebagai platform penyokong pro demokrasi yang menentang tindakan Vladimir Putin memenjarakan ketua pembangkang Alexei Navalny.
Tindakan Rusia dilihat sama seperti yang berlaku di India selepas Twitter menjadi platform menentang gerakan petani mogok sebagai tanda menentang undang-undang yang diluluskan kerajaan. Twitter turut diugut akan dihalang kerana penggunaan tagar yang didakwa “tidak memberitahu situasi sebenar di India”.