Cari @ Amanz

Dalam usaha terus memberi yang terbaik buat pengguna, UMobile kini mengemaskini pelan internet tanpa had mereka dengan satu lagi penawaran baharu dikenali sebagai Ultra Unlimited Wireless Broadband. Melaluinya, terdapat empat jenis pelan yang ditawarkan – iaitu WB48 (Study), WB68 (Work), WB88 (Work & Play) atau WB128 (Max). Kemudian, harga langganan pula bermula RM48/bulan dan ianya tersedia semua pengguna U Mobile yang baru dan sedia ada.

Penawaran data tanpa had untuk setiap satu pelan yang disediakan ini mempunyai tujuannya yang tersendiri. Misalnya, pelan WB48 lebih khusus kepada pembelajaran sahaja. Melaluinya, penawaran data tanpa had hanya boleh digunakan untuk tujuan pembelajaran seperti aplikasi Zoom, Google Meet dan Microsoft 365. Selebihnya, pelanggan hanya akan menerima data sebanyak 20GB untuk tujuan lain.

Bercakap mengenai pelan WB68 pula, ia mengkhususkan kepada kedua-duanya – iaitu pekerjaan dan pembelajaran. Melaluinya, pelanggan boleh menggunakan data internet tanpa had untuk tujuan pembelajaran dan kerja – termasuklah aplikasi Zoom. Sementara itu, pelanggan hanya boleh menikmati data sebanyak 30GB sahaja untuk tujuan lain.

Berbeza pula dengan pelan WB88 dan WB128 yang mana penawaran penggunaannya dilihat lebih luas. Melalui pelan WB88, pelanggan bukan sahaja boleh menikmati penawaran data tanpa had untuk pembelajaran dan kerja semata-mata. Tetapi, pelanggan juga boleh menggunakan data ini untuk laman e-dagang seperti Shopee dan Lazada serta sejumlah permua seperti Call of Duty Mobile, Mobile Legends Bang Bang danĀ Free Fire. Selebihnya, pengguna hanya akan menikmati data sebanyak 50GB untuk kegunaan lain.

Sama seperti pelan WB88, pelan WB128 turut membolehkan pengguna menikmati data tanpa had untuk pembelajaran, kerja, laman e-dagang dan permua. Bezanya cuma, penawaran data internet untuk kegunaan lain lebih banyak iaitu 150GB.

Bersempena dengan pengenalan ini juga, rebat sebanyak 50% akan diberikan kepada mana-mana pelanggan U Mobile yang mendaftar dengan pelan WB68, WB88 atau WB128 – selama dua tahun (24 bulan). Melaluinya, pelanggan boleh membayar bil dengan harga yang lebih rendah – misalnya pelanggan hanya perlu membayar RM34 untuk pelan WB68, RM44 untuk pelan WB88 dan RM64 pula untuk pelan WB128.

Promosi ini bermula hari ini sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Ia bagaimanapun, hanya terhad untuk hanya pelanggan U Mobile yang berdaftar dengan pelan GX68 dan ke atas sahaja. Untuk maklumat lanjut, layari pautan di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd