Ulasan Huawei FreeBuds 4i – TWS ANC Murah Huawei

Diterbitkan pada Mac 24, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Huawei FreeBuds adalah siri aksesori tersendiri Huawei, di mana mereka telah melancarkan banyak model, jenis dna variasi. Tidak kiralah dari TWS, neckband atau set fon kepala. Seperti kebanyakan jenama lain yang memfokuskan kepada ekosistem masing-masing, begitu juga dengan Huawei. Terkini yang tiba ke pasaran Malaysia adalah FreeBuds 4i, iaitu TWS dengan sokongan pembatalan hingar aktif.

FreeBuds 4i ini telah tiba ke Makmal Amanz awal beberapa minggu untuk tujuan ulasan dan kami telah jadikan TWS ini sebagai TWS harian untuk mengujinya. Kami turut menguji kedua-dua penggunaan dari peranti Android lain dan juga dengan peranti Huawei sendiri. Kami rasakan Huawei berjaya melakukan sesuatu ke atas TWS ini agar ia cukup menarik. Tetapi adakah ia berbaloi untuk dimiliki dan bagaimanakah prestasinya jika dibandingkan dengan pesaing? Teruskan baca artikel ulasan ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei FreeBuds 4i
JenisFon dalam telinga
Pemandu10mm Dinamik
Mikrofon2
Bateri55 mAh pada fon telinga
215 mAh pada pod pengecas
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECTidak Diberitahu
Sistem operasi disokongPeranti Dengan Sokongan Aplikasi Huawei AI Life
Sokongan pembantu mayaTidak disokong di Malaysia
Pad sesentuhYa, Tekan & Tahan atau Tekan 2x
Kemampuan kalis airTiada
Storan DalamanTiada
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM379

FreeBuds 4i menggunakan cip Bluetooth 5.2 yang mana boleh memberikan sambungan ke peranti yang lebih pantas, bateri yang lebih tahan lama dan juga tiada masalah masa pendam yang serius. Untuk pemandu audio, Huawei memilih untuk menggunakan jenis 10mm dinamik dan dipadankan dengan dua mikrofon untuk panggilan telefon yang jelas serta memberikan sokongan pembatalan hingar aktif. TWS ini menggunakan jenis fon dalam telinga untuk kedapan yang baik.

Rekaan TWS ini adalah sangat klise, jika anda lihat dengan jelas ia sangat mirip dengan AirPods Pro. Tetapi Huawei menggunakan rekaan tersendiri pada bahagian tangkainya. Silikon yang digunakan pada bahagian putik telingan juga adalah lebih lembut dan sedikit selesa. Untuk pod pengecasan, rekaannya adalah biasa sahaja. Tetapi binaannya cukup kukuh dan boleh dikatakan mempunyai kualiti binaan seakan AirPods generasi pertama.

Dalam senarai spesifikasi yang Huawei kongsi, tidak banyak yang jelas. Antaranya adalah codec yang digunakan tidak diketahui. Jadi agak sukar untuk kami jelaskan sama ada adakah ia enak didengari pada peranti Huawei sahaja ataupun ia akan sama dengan mana-mana peranti lain. Cuma, jika peranti itu menyokong aplikasi Huawei AI Life – TWS ini boleh digunakan dengan baik. Bateri yang terbina adalah 55 mAh pada fon telinga dan 215 mAh pada pod pengecas.

Unit yang kami terima adalah berwarna putih, di mana amat mudah kotor dengan kesan daki, peluh dan kotoran cap jari. Walaupun Huawei katakan kemasan berkilat ini mudah mengelak dari kotoran, itu tidak berlaku pada unit kami ini. Jika warna hitam atau merah yang ditawarkan oleh Huawei, mungkin ya.

Kualiti Audio

Dengan menggunakan pemandu audio 10mm jenis dinamik, TWS ini sepatutnya mempunyai bass yang baik. Tetapi sayang sekali bass yang terhasil adalah tidak menyeronokkan. Kehadiran sub-bass adalah antara yang terbaik, tetapi mid-bass agak halus dan lemah. Bass pada TWS ini tergantung menjadikan pengalaman pendengaran kurang memuaskan. Huawei memfokuskan kepada muzik pop untuk TWS ini, jadi bass sepatutnya adalah hebat.

Untuk vokal, iaitu mids ia bergema dan lompong di mana hasil suara adalah tidak natural dan kurang enak. Vokal juga secara tidak langsung menjadi nada tinggi dan dan tidak begitu jelas. Ini adalah perkara biasa untuk pemandu audio jenis dinamik, jadi tidak mengejutkan hasilnya begini. Kembali bercakap mengenai muzik pop yang menjadi fokus utama Huawei, hanya sesetengah muzik sahaja yang baik dan itu pun terhad kepada beberapa penyanyi wanita sahaja yang enak.

Highs atau muzik nada tinggi tidak begitu menyerlah dan ia tidak sampai ke penghujung. Sedang seronok mendengar muzik dengan nada tinggi, tetapi setiap melodi itu tidak cukup memuaskan kerana capaian ke nada tinggi itu tidak kekal lama. Huawei FreeBuds 4i juga agak sukar untuk mengenalpasti instrumen yang sedang dimainkan kerana pementasan audio terlampau serabut seakan semua instrumen itu dimainkan pada jarak dekat.

Pembatalan hingar aktif pada FreeBuds 4i ini ia sekadar ada sahaja dan tidak begitu baik. Ia mampu membatalkan sesetengah frekuensi rendah tetapi frekuensi tinggi tidak begitu baik. Ini menjadikan fungsi pembatalan hingar TWS ini tidak begitu baik dan seakan kebanyakan TWS bajet sahaja. ANC pada frekuensi tinggi tidak begitu menjadi yang menjadikan keseluruhan pendengaran sedikit pelik.

Kawalan Dan Aplikasi

Untuk mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih baik, FreeBuds 4i adalah bagus digunakan dengan peranti Huawei sahaja. Lebih-lebih lagi dengan peranti yang menjalankan sistem operasi EMUI 10.0 ke atas di mana ia menyokong tambatan pantas seakan AirPods pada iPhone. Tetapi syukur, untuk peranti Android lain ia masih boleh digunakan kerana ada sokongan aplikasi Huawei AI Life untuk melakukan pelbagai tetapan tambahan dan kawalan lain termasuk mengemaskini perisian.

Antara kawalan yang boleh dilakukan adalah tekan dua kali pada permukaan tangkai untuk jeda atau mainkan media atau juga menjawab panggilan telefon. Atau tekan beberapa saat untuk hidup atau matikan mod ANC atau mengaktifkan mod Awareness iaitu versi Huawei untuk mod Transparency. Dalam aplikasi ada sokongan menyeru pembantu digital dengan tekan dua kali, tetapi pada peranti Huawei ia tidak disokong jika tiada GMS.

Aplikasi Huawei AI Life adalah mudah digunakan dengan antaramuka yang cantik serta grafik yang mudah faham untuk cara penggunaan. Pada peranti Huawei, pengguna bebas memilih menggunakan dari dalam sistem atau aplikasi AI lLife.

Bateri

Bateri menurut Huawei ia boleh bertahan selama 10 jam jika digunakan secara berterusan dan boleh mencapai selama 22 jam dengan pod pengecas. Tetapi dengan penggunaan ANC, hayat bateri akan berkurangan. Dalam ujian kami, bateri pada TWS ini tidak menjadi masalah kerana ia boleh dicas dengan pantas – di mana 10 minit cas boleh bertahan selama 4 jam.

Setakat penggunaan kami, penggunaan sepanjang hari seperti dari pagi dan sehingga tengah hari tidak menjadi masalah. Kami gunakan sekitar 2-3 jam sehari dengan baki sekitar 70%. Tetapi selepas simpan ke dalam pod pengecas dan menggunakannya kembali pada keesokan hari, pod pengecas mempunyai baki bateri 45%. Isu yang kami temui adalah pod pengecas cepat habis bateri walaupun baki bateri setiap fon telinga masih tinggi.

Pengecasan terhad dengan USB-C sahaja dan tiada sokongan penegcasan nirwayar.

Kesimpulan

Huawei FreeBuds 4i adalah satu lagi TWS ANC asas yang cuba menyamar menjadi aksesori audio premium. TWS ini langsung tidak rasa murah kualiti binaannya. Malah ia cukup berkualiti dan rasa premium. Cuma kualiti audionya tidak mencapai lagi ke tahap premium. Ciri dan fungsi yang ditawarkan pada FreeBuds 4i ini tidak dinafikan akan membuatkan peminat Huawei tertarik untuk mencuba dan membelinya.

Jika anda adalah pengguna Huawei dan meminati ekosistem Huawei, ia akan memberikan pengalaman penggunaan menarik dengan sokongan tambatan pantas dan tidak perlu memuat turun aplikasi lain. Tetapi pada peranti Android, ia akan ditambat dengan kaedah Bluetooth biasa dan memerlukan aplikasi tambahan. Pada iPhone jika digunakan, ia hanyalah sekadar TWS biasa sahaja.

Walaupun Huawei promosikan TWS ini untuk muzik pop, hasil muzik adalah aneh dan tidak enak. Tetapi untuk muzik balad perlahan atau muzik yang fokus kepada instrumen nada tinggi – ia adalah baik-baik sahaja. Harga jualan Huawei FreeBuds 4i ini adalah RM379 sahaja. Ini adalah harga jualan yang agak berbaloi, ia tidak begitu mahal dan tidak begitu murah . Ia sekadar pelengkap ekosistem sahaja. Jika muzik yang anda inginkan dan kualiti audio itu penting masih banyak lagi pilihan di luar sana.

Untuk jualan awal, hanya warna Ceramic White sahaja boleh didapati pada 27 Mac ini. Warna lain seperti Carbon Black dan Honey Red hanya akan dijual di masa akan datang. Setiap pembelian juga, pengguna akan menerima baucar RM60 yang boleh digunakan di kedai Huawei dari 27 Mac sehingga 31 Mac.


Pro

  • Muzik balad perlahan dan instrumen nada tinggi yang baik
  • Kecil dan cukup ringan
  • Ekosistem yang hebat dengan tambatan pantas jika digunakan pada peranti Huawei
  • Selesa di telinga dan tidak sakit

Kontra

  • ANC yang ala kadar
  • Pengalaman pendengaran keseluruhan yang tidak enak
  • Kemasan warna putih yang mudah kotor
  • Masih mirip AirPods Pro dan tidak mempunyai identiti tersendiri


.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami