Armaggeddon adalah jenama barangan gaming yang cukup terkenal, kerana harga jualan yang sangat mampu milik. Harga jualannya yang sangat murah, ia membenarkan pengguna yang baru ingin serius bermain permainan memiliki aksesori yang cukup memadai sebagai langkah permulaan. Dari papan kekunci, tetikus, pembesar suara, paparan sehinggalah ke audio – semuanya ada.
Buat pertama kalinya, Armaggeddon hadir dengan TWS tersendiri selepas banyak jenama premium hadir dengan set fon telinga nirwayar masing-masing yang turut sesuai digunakan untuk bermain permainan video. Terdapat dua model, iaitu Hornet-3 dan juga Hornet-1. Menjadi persoalan, adalah TWS ini cukup bagus dan adakah ianya berbaloi untuk dimiliki?
Spesifikasi Dan Rekaan
Hornet-3 | Hornet-1 | |
---|---|---|
Jenis | Fon dalam telinga | Fon jenis earpod |
Pemandu | 4 x 6mm jenis dinamik | 10mm jenis dinamik |
Mikrofon | Ada | Ada |
Bateri | 50mAh pada fon telinga 600mAh pada pod pengecas | 35mAh pada fon telinga 375mAh pada pod pengecas |
Port pengecas | USB-C | USB-C |
Pengecasan nirwayar | Tiada | Tiada |
CODEC | SBC | SBC |
Sistem operasi disokong | Mana-mana peranti dengan sokongan Bluetooth | Mana-mana peranti dengan sokongan Bluetooth |
Sokongan pembantu maya | Tekan dan tahan | Tekan dan tahan |
Pad sesentuh | Ada, tekan dan tahan atau tekan beberapa kali | Ada, tekan dan tahan atau tekan beberapa kali |
Harga Jualan | RM199.90 | RM299.90 |
Seperti biasa, Armaggeddon gemar menggunakan rekaan yang klise dan biasa dilihat. Ini kerana, barangan mereka lebih kepada barangan OEM yang dijenamakan semula. Cuma Armaggeddon ada meletakkan identiti mereka dan fungsi dan ciri yang hebat untuk memuaskan lagi hati pengguna. Kedua-dua TWS Hornet dari mereka lebih memfokuskan permua dan masa pendam rendah, jadi ia turut fokus kepada vokal yang baik. Kedua-dua TWS ini menggunakan pemandu audio jenis dinamik, Hornet-1 dengan 10mm dan Hornet 3 pula mempunyai 4 x 6 pemandu audio jenis yang sama.
Bateri yang dimuatkan adalah 35mAh untuk kedua-dua fon telinga pada Hornet-1 dengan 375mAh pada pod pengecas. Hornet-3 pula adalah 50mAh dan 600mAh. Kedua-duanya menggunakan USB-C dan mempunyai sokongan codec SBC dan turut menyokong beberapa kawalan sentuhan tekan dan tahan atau tekan beberapa kali seperti 2x atau 3x.
Hornet-1 menggunakan rekaan konsep seakan AirPods generasi lama. Rekaannya mirip dengan kebanyakan klon AirPods di pasaran, tetapi berwarna hitam dengan saiz pod pengecas yang besar dan panjang untuk memuatkan butang tambahan serta lampu LED indikasi. Disebabkan ia adalah jenis earpod dan bukan jenis dalam telinga, ia mudah terkeluar. Ia juga agak ringan, tetapi kurang selesa dan rasa sedikit janggal.
Hornet-3 mempunyai rekaan yang lebih garang dengan identiti yang lebih ke arah gaming. Ia agak besar dan terjojol keluar dan sangat tidak selesa. Unit yang kami terima juga sedikit aneh kerana mata mudah melekat dengan pelbagai habuk. Rekaan ranggi ini kelihatan seperti TWS ini mempunyai pemandu audio profesional, tetapi kualiti binaannya amat lemah dan sangat rendah.
Kualiti Audio
Hornet-1
TWS ini langsung tiada bass, ia sangat flat dan kosong. Pada mid-bass ada sedikit dentuman, tetapi pengguna perlu cari dentuman itu dan kalau dengar begitu sahaja – semua muzik kedengaran aneh. Mids juga sangat aneh di mana vokal menjadi nada tinggi dan tidak enak serta tidak natural. Ia terasa seperti audio yang dijana dari komputer. Vokal secara keseluruhan boleh dengar dengan jelas, tetapi tidak ada butiran yang baik. Ia lebih kepada untuk panggilan telefon sahaja. Ini masuk akal, kerana Armaggeddon meletakkan pada kotak yang vokal TWS ini adalah jelas.
Pada highs pula, pada nada tinggi ada herotan dan sangat bising. Instrumen juga tidak jelas dan sangat tidak selesa untuk menggunakannya. Ia juga tidak jelas dan sangat menjengkelkan. Pada pementasan audio, ia juga serabut dengan semua instrumen seakan dimainkan pada satu sudut kecil. Mendengar muzik dengan TWS ini adalah seakan masuk ke bazar Ramadhan, di mana ada ramai orang dan sangat bising.
Muzik balad perlahan cukup enak, tetapi vokal terlampau dikuatkan menjadikan setiap muzik itu tidak mempunyai definisi dan sukar untuk menikmatinya dengan tenang.
Bermain permua, menstrim muzik atau video – dakwaan Armaggeddon adalah benar. Ia mempunyai masa pendam yang rendah. Tetapi masih ada sela masa antara visual dan audio jika dicari.
Hornet-3
Keselesaan adalah penting untuk aksesori audio, tetapi sama dengan Hornet-1 – Hornet-3 juga tidak begitu selesa dengan rekaan yang tebal. Tetapi ia ringan, itu memang baik – tetapi tiada gunanya jika ringan tetapi tidak selesa. Mendengar muzik pada Hornet-3 juga tidak menyenangkan.
Pada highs ia tenggelam dengan frekuensi lain menjadikan pendengaran muzik nada tinggi langsung tidak enak. Bunyi nada tinggi adalah sepi sahaja seakan ia tidak boleh capai ke tahap yang sepatutnya dicapai. Beralih ke vokal, di mana ia boleh diterima sedikit. Seperti Hornet-1 juga, Hornet-3 turut memfokuskan pada vokal. Hasil audio adalah sedikit seakan robot kerana seakan ada gangguan, kerana audio yang terhasil adalah tidak natural. Keseluruhan vokal adalah sedikit dalam seakan suara dari perut.
Tetapi vokal cukup baik jika sekadar mendengar podcast singkat atau menjawab panggilan telefon.
Bass adalah terlampau kuat sehinggakan ia menjadikan keseluruhan pengalaman pendengaran begitu aneh. Dentuman tidak begitu memberikan perasaan yang teruja. Sub-bass lebih deram-derum berbanding mid-bass yang mana ini adalah sesuatu yang kurang memuaskan. Hornet-3 lebih kepada bunyi aksesori audio zaman 90-an atau awal 2000, di mana apa jua audio yang dimainkan seakan mempunyai kualiti rendah.
Hornet-3 juga mempunyai masalah di mana seakan ada lompong di antara TWS dan telinga. Ini membuatkan instrumen sukar untuk dikenalpasti sama seperti Hornet-1.
Memandangkan ia juga fokus kepada permua dan masa pendam rendah, jadi jika sekadar mendengar untuk bermain dan berbual dari dalam permainan – ia tidak menjadi masalah. Masa pendam tidak begitu rendah, ia baik-baik sahaja. Cuma jika dicari, akan ada sedikit sela masa antara visual dan audio.
Bateri
Hornet-1 mendakwa mempunyai ketahanan 5 jam dengan penggunaan berterusan dan 10 jam dengan pod pengecas. Manakala Hornet-3, mempunyai ketahanan 8 jam berterusan dan 24 jam dengan pod pengecasan. Kedua-dua TWS ini boleh dicas melalui USB-C, yang mana ini adalah standard untuk TWS sejak dua tahun lagi.
Bateri, tidak menjadi masalah untuk TWS ini. Ini adalah kerana Bluetooth 5.0. Sepanjang pengalaman menguji aksesori audio, banyak yang ada masalah bateri adalah TWS dengan cip Bluetooth kuno sahaja. Jadi menggunakan siri TWS Hornet ini tidak akan memberikan masalah bateri. Cuma masa pengecasan adalah sedikit lama, kerana ia tidak menyokong piawaian pengecasan pantas.
Kesimpulan
Sebagai jenama yang menjual barangan gaming berharga bajet, kualiti binaan Hornet-1 dan Hornet-3 sudah boleh dijangka. Tetapi sekurang-kurangnya, berikanlah satu rekaan yang selesa digunakan seperti menyalin rekaan yang lebih dikenali orang ramai – misalnya rekaan AirPods Pro. Rekaan dan binaan seakan barangan OEM dari China ini mungkin sukar untuk menarik pelanggan. Ia juga tiada sebarang ekosistem untuk membuatkan orang ramai nikmatinya.
Kualiti audio yang sangat teruk dan pengalaman penggunaan yang mengecewakan – ini adalah produk audio paling teruk pernah diuji. Bayangkan, Redmi AirDots generasi pertama yang kini berharga sekitar RM70 sahaja mempunyai kualiti audio yang lebih baik. Harga jualan Hornet-1 RM199.90 dan Hornet-3 pada RM299.90, ia adalah sangat mahal dan sangat tidak berbaloi. Aksesori audio bawah RM90 banyak di pasaran dalam bentuk TWS dan ia mempunyai kualiti yang jauh lebih baik.
Elakkan membeli produk ini, jika anda tidak ingin mempunyai pengalaman yang menyesal. Tetapi jika anda setia dengan jenama Armaggeddon dan sudah biasa dengan barangan gaming mereka lain, untuk vokal dan masa pendam rendah – itu adalah kekuatan yang ada pada TWS ini.
Pro
- Dakwaan pada kotak benar, vokal yang baik dan mempunyai masa pendam rendah.
- Menyokong Bluetooth 5.0 untuk bateri yang lebih lama dan sambungan yang baik.
Kontra
- Rekaan yang aneh, pelik dan binaan berkualiti rendah.
- Kualiti audio keseluruhan yang teruk dan tidak enak.
- Harga jualan yang gila mahal untuk kualiti TWS seperti ini.