Carian
Oppo Find X3 Pro Dilancarkan Dengan Skrin 120Hz, Snapdragon 888 Dan Kamera Mikroskop
March 11, 2021 Effi Saharudin

Oppo Find X3 Pro telah diumumkan sebentar tadi selepas beberapa kali imej pengolokannya tertiris ke arena web. Peranti ini dilengkapi skrin 6.7″ AMOLED WQHD+ dengan kadar segar semula 120Hz adaftif. Kadar segar semula akan berubah secara dinamik mengikut keperluan aplikasi di antara 5-120Hz. Seterusnya skrin ini juga mampu memaparkan sehingga 1 bilion warna menerusi sistem 10-bit. Menjana peranti ialah cip Snapdragon 888 yang pada waktu ini adalah yang paling berkuasa untuk peranti Android.

Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 12GB dan storan 256GB. Tiada sokongan memori tambahan kerana tiada slot untuk kad mikro SD. Sebaliknya sokongan dwi-SIM 5G dengan modem global diberikan sebagai persediaan kepada pelancaran rangkaian ini di Malaysia pada penghujung tahun. Bateri 4500 mAh pula membekalkan kuasa dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 65W, pengecasan nirwayar AirVOOC 30W dan pengecasan berbalik 10W. Dengan dua bateri, bateri boleh mencapai tahap 100% dapat dalam masa sekitar 40 minit sahaja.

Anda pasti menyedari rekaan bonggol kamera Find X3 Pro yang unik pada bahagian belakang. Ia menempatkan kamera lensa lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 50MP, telefoto 13MP dan mikro 3MP. Tiada sokongan zum angkasa lepas atau mekanisme periskop seperti Find X2 Pro. Sebaliknya kemampuan zum hibrid sehingga 5X dan zum digital sehingga 20X sahaja mampu dilakukan. Gimik tahun ini ialah kamera mikroskop yang membolehkan zum objek jarak dekat sehingga 60X. Serat-serat pada baju, permaidani dan permukaan kulit dapat dilihat dengan lebih jelas menerusi kamera mikroskop ini.

Ciri lain yang ditawarkan ialah pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, kemampuan kalis air IP68, sistem menala skrin untuk insan buta warna, Game Space dan banyak lagi. Dua warna ditawarkan iaitu hitam dan biru. Kemasan hitam kelihatan seperti seramik yang berkilat manakala biru pula adalah kusam sehingga tidak mudah memerangkap cap jari.

Oppo Find X3 Pro akan mula dijual 30 Mac ini pada harga €1149 (~RM 5647) sebuah. Harga dan tarikh jualan untuk pasaran Malaysia akan diumumkan kelak.

Komen