Google Maps Kini Membolehkan Pengguna Menambah Jalan Yang Hilang

Diterbitkan pada Mac 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Maps merupakan antara aplikasi navigasi yang popular hingga ke hari ini dan ia kerap digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Dalam perkembangan terkini, Google Maps dilihat menerima beberapa kemas kini baharu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

Salah satu daripadanya ialah Google Maps kini membolehkan para pengguna untuk menambah jalan yang hilang. Melaluinya, pengguna boleh melaporkan perubahan jalan dengan mudah menerusi fungsi “Edit the map” yang terdapat pada Google Maps versi web. Kemudiannya, pengguna hanya perlu klik pada butang “Missing Road” dan akhir sekali, tambahkan sahaja jalan yang hilang dengan melukis garisan.

Pada masa sama, pengguna juga boleh menamakan semula, menukar hala tuju dan menyelaraskan atau memadam mana-mana jalan yang tidak betul. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh memaklumkan kepada pihak Google mengenai jalan yang telah ditutup dengan memberikan butiran sepatutnya – termasuklah tarikh, sebab dan arahan berkaitan.

Kemaskini seterusnya, pengguna kini juga boleh berkongsi ulasan atau kemaskini perkembangan semasa untuk sesebuah lokasi. Melaluinya, pengguna boleh berkongsi kemaskini dalam pelbagai bentuk kandungan – misalnya foto, ulasan atau fakta yang berkaitan.

Caranya mudah sahaja, pengguna hanya perlu klik pada butang ‘Contribute‘ pada aplikasi Google Maps. Kemudian, tambahkan penilaian, ulasan dan sebagainya yang berkaitan dengan lokasi dilawati. Maklum balas ini secara tidak langsung turut membantu ramai pengguna lain untuk ketahui lebih lanjut berkaitan sesebuah lokasi.

Akhir sekali, pengguna juga boleh berkongsi pengalaman dengan kemas kini berbentuk foto pada peta. Jadinya, pengguna kini tidak lagi perlu berkongsi pengalaman menerusi penarafan atau ulasan. Caranya juga mudah, pengguna hanya perlu klik pada butang “upload a photo update” dan muat-naik gambar dan kongsikan kasyen ringkas sahaja. Difahamkan, pengguna boleh berkongsi sebarapa banyak foto yang dimahukan. Kesemua ciri baharu yang diumumkan ini akan diberikan secara berperingkat.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami