Cari @ Amanz

Banyak betul TWS dengan ANC di pasaran sekarang sehingga amat sukar untuk melakukan pilihan yang paling tepat. Kesemuanya dijual pada harga yang berbeza-beza antara satu sama lain. Dengan Oppo Enco X disahkan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat, satu lagi pesaing memasuki gelanggang tarung TWS dan kami merasakan ia telah berjaya menumbangkan Samsung Buds Pro sebagai yang terbaik.

Spesifikasi

Oppo Enco X
JenisFon dalam telinga
Pemandu11mm Woofer + 6.0mm Tweeter
Mikrofon4 Luar + 2 Dalam
Bateri44 mAh pada fon telinga
535 mAh pada pod pengecas
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarYa / Qi
CODECLHDC, AAC, SBC
Sistem operasi disokongAndroid, iOS, MacOS, Windows 10
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa / 2X
Kemampuan kalis airIP54
Storan DalamanTiada
Audio OfflineTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 699

Putik audio dan pod pengecas diperbuat sepenuhnya bahan plastik yang berkilat. Ini menjadikannya sedikit licin did dalam tangan. Ia bukannya isu yang besar pada putik telinga kerana ini ialah kemasan standard pada kesemua TWS yang kami ulas setakat ini. Ia masih belum mencapai tahap menyusahkan seperti Galaxy Buds Live atau FreeBuds Pro. Sambungan magnetik yang mengekalkan putik dalam pod simpanan adalah cukup kuat untuk mengelakkan ia dari mudah terjatuh tetapi tidak sehingga sukar untuk ditarik keluar.

Isu kami hanyalah kemasan licin pod simpanan yang pastinya akan calar balar selepas beberapa bulan digunakan. Ini adalah berasaskan pengalaman memiliki AirPods, Galaxy Buds+ dan Realme Buds Air sebelum ini. Semua pengeluar seharusnya menggunakan kemasan tidak berkilat seperti Galaxy Buds Pro atau Sony WF-1000XM3. Ini ialah isu yang diketahui ramai sehingga ada industri kecil yang menghasilkan kerangka tahan lasak untuk pod simpanan.

Rekaan putik telinga adalah amat selesa dan ergonomik. Tangkai yang sederhana panjang memudahkan putik Enco X dikeluarkan dari telinga apabila diperlukan. Pada tangkai yang sama terdapat sensor gestur sentuhan puntuk mengawal media, mengaktifkan sistem ANC, menyeru pembantu maya dan menukar tambatan kepada peranti lain.

Apabila dimasukkan ke dalam telinga ia terasa selesa kerana badan bulat dan licin. Bahagian silikon yang dimasukkan ke dalam lubang telinga juga amat selesa untuk digunakan. Putik Enco X juga adalah amat ringan sehingga hampir tidak terasa ketika dipakai. Terdapat dua lagi komponen silikon pelbagai saiz yang boleh digunakan jika ia tidak selesa pada lubang telinga. Terdapat ciri Earbuds fit Test yang mengambil masa beberapa saat sahaja untuk menganalisa kesesuaian putik di dalam telinga pemakai.

Enco X adalah antara sebilangan kecil TWS yang mempunyai dua pemandu audio yang disusun secara bertindih dalam setiap putik. Satu woofer sebesar 11mm dan satu lagi adalah tweeter sebesar 6.0mn. Pemandu berganda ini secara teorinya akan memberikan pengalaman audio yang baik kerana mengasingkan audio berfrekuensi rendah dan tinggi. Turut disertakan ialah enam mikrofon dengan dua dalam telinga untuk menyokong sistem ANC. Kesemua komponen dimasukkan ke dalam tubuh yang kalis percikan air sehingga IP54. Ini membolehkan ia digunakan ketika bersenam kerana kalis peluh tetapi masih tidak boleh digunakan ketika berenang.

Pod simpanan adalah berbentuk bujur seperti sabun mandian Lux cuma berskala lebih comel. Terdapat satu garisan di perimeter pod yang berwarna perak dan juga penjenamaan Oppo. Rekaan ini tidak mempunyai bucu tajam yang membuatkannya selesa dimasukkan ke dalam kocek tanpa perlu risau ia mencucuk peha atau punggung. Pada sisi kanan terdapat butang fizikal untuk melakukan tambatan bluetooth kepada peranti baharu. Kami lebih menyukai sistem butang fizikal ini berbanding implementasi Samsung yang menyuruh pengguna menyentuh kedua-dua fon telinga selama lima saat yang kadang kala tidak berfungsi dengan baik.

Pada bahagian hadapan terdapat lampu LED yang menunjukkan status bateri dan tambatan. Sementara itu port pengecasan USB-C pula diletakkan pada bahagian bawah. Bagi yang inginkan pengecasan berwayar, format Qi disokong.

Binaan dan kemasan pod adalah cukup premium sesuai dengan harga jualannya. Bahagian penutup bermagnet untuk memastikan tiada kerisauan ia terbuka secara rawak. Engsel yang digunakan juga teguh. Tiada isu ia kelihatan atau terasa seperti produk murahan.

Penggunaan Dan Perisian

Seperti yang dilakukan oleh kesemua pengeluar sekarang, Oppo Enco X berfungsi paling baik peranti keluaran Oppo. Sejurus selepas penutup pod dibuka, skrin yang memaparkan tahap bateri putik audio dan pod akan muncul pada skrin dengan butang untuk menambat. Selepas ini dilakukan pelbagai ciri tambahan serta kustomasi Enco X boleh dilakukan terus dari skrin bluetooth peranti. Sistem yang digunakan ini adalah sama seperti yang dipelopori oleh Apple sebelum diikuti oleh OnePlus dan Huawei.

Dari sudut positif tiada aplikasi tambahan perlu dimuat turun seperti yang dilakukan oleh Samsung. Dari sudut negatif pula ramai tidak membaca manual yang mungkin tidak tahu tetapan pad sesentuh, mengemaskini perisian fon telinga dan memilih CODEC boleh dilakukan terus dari skrin bluetooth memandangkan ianya tersorok. Kami tiada masalah dengan implementasi Oppo kerana ia mudah digunakan serta lebih pantas berbanding sistem yang digunakan Samsung.

Pada peranti bukan Oppo, beberapa langkah tambahan perlu dilakukan. Muat turun aplikasi Hey Melody yang kod QR-nya dipaparkan di luar kotak dan kemudian menekan butang tambatan manual pada sisi pod pengecas. Aneh sekali Oppo menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh OnePlus untuk mengawal Enco X pada peranti Android lain. Selepas proses tambatan dilakukan, kesemua jenis tetapan seperti menyeru Google Assistant, mengubah konfigurasi tatalan dan banyak lagi boleh dilakukan dengan mudah.

Pada peranti iOS, aplikasi ini hanya akan ditawarkan pada pertengahan 2021. Oleh itu pengguna Enco X tidak boleh mengubah tetapan fon telinga atau mengemaskini perisian jika hanya memiliki peranti iOS. Mungkin ada yang mengatakan “kenapa nak pakai Oppo kalau pakai iPhone?”. Soalan yang bernas tetapi hakikatnya pengguna bebas membeli TWS yang ingin digunakan dan adalah tanggungjawab pengeluar untuk memberikan sokongan pada pelbagai sistem operasi.

Sepanjang tempoh ulasan tiada isu besar yang kami sedari semasa menggunakan Enco X pada pelbagai platform kecuali tiada aplikasi Hey Melody di iOS sahaja. Tetapi untuk pengalaman penggunaan paling lancar, Enco X perlu digunakan pada peranti keluaran Oppo kerana langkah menambat dan integrasi sistem yang lebih kemas.

Pelbagai gestur disokong pada bahagian tangkai iaitu dwi-tap, tri-tap, menekan lama dan menatal tangkai. Dari kesemua gestur ini, tatalan tangkai mungkin ciri yang paling kamu sukai kerana ia memudahkan proses mengubah kelantangan audio. Ia turut boleh digunakan untuk melangkau muzik yang sedang didengari. Sistem Oppo adalah yang paling intuitif pada TWS setakat ini.

Anda pasti sedari tiada sokongan satu-tap sahaja pada Enco X. Sebelum anda mengeluh ia pada hemat kami ialah pilihan yang bijak. Kerap kali ketika menggunakan TWS lain di pasaran, muzik terhenti ketika kami sekadar mahu mengubah kedudukan putik audio dalam telinga. Dengan tiadanya gestur satu-tap, ini tidak akan lagi berlaku. Sebaliknya muzik boleh dijeda dengan menanggalkan salah satu putik audio dari telinga. Muzik terhenti serta merta dan bersambung semula selepas sesaat dimasukkan dalam telinga. Dengan adanya tangkai pada putik audio, proses menanggalkan Enco X adalah amat mudah. Tiada kerisauan ia melekat kuat seperti yang kami alami ketika menggunakan Bud Pro dan mustahil untuk ditarik seperti Buds Live.

Kualiti Audio

Kualiti audio adalah lebih baik dari yang disangka kerana usaha awal Oppo sebelum ini mengecewakan. Kerjasama dengan DynaAudio tahun ini nampaknya membuahkan hasil. Audio adalah terang dan lantang. Tiada isu audio berkecamuk kerana Enco X dilengkapi dua pemandu audio untuk woofer dan tweeter. Telinga masih lagi terasa sedikit tersumbat dan tidak lebih terbuka seperti Buds Pro. Namun begitu secara keseluruhan kami lebih menggemari audio dari Enco X berbanding Buds Pro.

Bass lebih kuat dan menggegarkan koklea. Treble lebih rangup dan tidak kedengaran terlalu mendatar. Codec terbaik yang disokong ialah LHDC yang merupakan teknologi alternatif kepada LDAC menurut pandangan Oppo. Tetapi tidak dapat menguji sama ada ini benar ataupun tidak kerana tidak mempunyai peranti Oppo yang menyokong LHDC. Ya kami mengujinya dengan Find X3 Pro tetapi peranti mercu terkini ini sendiri tidak menyokong LHDC. Sungguh aneh.

Tanpa LHDC dan LDAC, codec terbaik yang disokong ialah AAC. Kualiti audio yang dinikmati adalah amat bergantung pada peranti yang anda gunakan. Pada peranti Oppo dan Apple kami rasakan kualiti audio amatlah memuaskan. Pada platform Android pula ia sekali lagi bergantung kepada jenama peranti yang anda gunakan. Secara keseluruhan kami merasakan kualiti audio pada peranti Android lain tidak setanding yang boleh dinikmati pada peranti Oppo.

Pentas audio masih agak tertutup kerana rekaan dalam telinga. Ini pada hemat kami adalah kelemahan paling ketara pada Enco X. Jika anda mahukan TWS dengan rekaan dalam telinga yang terasa lebih terbuka, Buds Pro ialah saranan kami kepada anda.

Kekurangan ini dapat diubati dengan sistem ANC yang terbaik pernah kami nikmati dari pengeluar TWS Android. Kami cukup suka dengan sistem Oppo yang hanya mengaktifkan ANC selepas kedua-dua fon telinga diletakkan pada telinga. Secara serta merta dunia akan dibisukan. Kami banyak melakukan kerja di dalam bilik dengan pendingin hawa dan kipas, Enco X dapat meneutralkan deruman dua peralatan elektrik ini dengan cukup efektif.

Bateri

Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama 4 jam dan sehingga 25 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC diaktifkan. Ia meningkat ke 5.5 jam sekiranya ANC tidak diaktifkan. Hayat ini adalah memuaskan dan setanding dengan AirPods Pro tetapi di belakang Buds Pro (5/8/28 jam). Dari segi ketahanan bateri raja TWS ANC masih milik Samsung. Waktu pengecasan semula adalah hampir dua jam secara berwayar. Kami tidak menguji pula pengecasan secara nirwayar Qi kerana pastinya lebih perlahan dan tiada insan yang cukup sabar untuk melakukannya.

Kesimpulan

Dari segi kemampuan audio dan ANC, Oppo Enco X ialah yang terbaik pernah kami nikmati dari pengeluar peranti Android. Ia menawarkan prestasi audio tahap premium untuk sebuah TWS dengan rekaan dalam telinga. Audio yang berada di tahap tinggi ini dipadankan pula dengan sistem tatalan dan gestur yang amat responsif tanpa sebarang isu yang sering dikaitkan dengan sebuah TWS.

Hayat baterinya juga adalah memuaskan selari dengan prestasi 90% TWS ANC di pasaran. Yang perlu kami ketengahkan di sini ialah jika hayat bateri yang lebih baik adalah lebih penting bagi anda, elakkan dari membeli TWS dengan ANC kerana walaupun ANC dimatikan, hayatnya masih lebih rendah berbanding TWS biasa.

Isu hanya terletak pada tiadanya aplikasi Hey Melody untuk peranti iOS pada waktu ini dan hanya akan dilancarkan pada pertengahan tahun. Pada waktu yang sama kemasan yang berkilat yang digunakan pastinya akan calar balar selepas beberapa bulan digunakan.

Pada harga RM699 ia adalah lebih murah berbanding Samsung Buds Pro (RM799), Sony WF-1000XM3 (RM949) dan Apple AirPods Pro (RM1099) tetapi menawarkan kemampuan audio serta ciri-ciri tambahan yang sama. Memang ia masih boleh dikategorikan sebagai kurang mampu milik tetapi ia adalah yang paling mampu milik dengan prestasi audio yang tidak mengecewakan di pasaran Malaysia sekarang.

Pro

  • Kualiti bunyi yang amat baik bagi fon telinga jenis earbuds.
  • ANC terbaik dari pengeluar Android.
  • Selesa dalam telinga.
  • Pad sesentuh yang responsif.
  • Hayat bateri yang memuaskan.
  • Butang tambatan blueetoth fizikal.

Kontra

  • Tiada aplikasi untuk iOS.
  • Kemasan berkilat biasanya tidak bertahan lama.
  • Codec LHDC yang menawarkan audio terbaik hanya disokong pada sebilangan peranti keluaran Oppo.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd