Inilah Pesaing Hebat Kepada Peranti Premium Yang Terkemuka

Inilah Pesaing Hebat Kepada Peranti Premium Yang Terkemuka

Diterbitkan pada Mac 24, 2021 oleh .

Semenjak kategori telefon pintar diperkenalkan kepada dunia, kita boleh lihat pelbagai jenama telefon pintar bertungkus-lumus dalam menghasilkan inovasi untuk telefon pintar mereka agar teknologi yang digunakan adalah seiring dengan peredaran dunia teknologi terkini. Perkara ini secara tidak langsung memberi persaingan sengit di antara para jenama pengeluar telefon pintar untuk terus menawarkan peranti dengan inovasi terkini. Tidak kira apa jua jenama telefon pintar, mereka ini tetap bertungkus-lumus untuk terus menawarkan inovasi yang mengikuti arus pemodenan dalam arena telefon pintar. Namun bagaimana pula dengan OPPO Find X3 Pro? Apakah inovasi unik yang ditawarkan pada peranti mercu OPPO kali ini dan adakah ia berbaloi untuk dibeli? Jadi, kali ini kita akan lihat fungsi menarik yang ada pada OPPO Find X3 Pro ini yang menjadi penyebab utama mengapa ia boleh memberi saingan sengit kepada jenama peranti premium yang lain.

1. Rekaan Unik Dan Kelihatan Premium

Telefon pintar OPPO Find X3 Pro ini hadir dengan rekaan skrin AMOLED bersaiz 6.7 inci dengan resolusi setinggi WQHD+. Skrinnya juga menyokong kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz yang membenarkan kadar segar semula untuk berubah secara dinamik mengikut keperluan aplikasi yang dijalankan. Malah pewarnaan skrinnya juga mampu memberi pewarnaan yang jitu kerana ia menyokong untuk memaparkan sehingga 1 bilion jenis warna dengaan ketepatan sehingga 0.4 JNCD. Bergerak pada bahagian kameranya pula, OPPO menyatakan bahawa rekaan kameranya diinspirasikan dari industri aeroangkasa untuk rekaan panel belakang kamera. Terdapat satu bonggol yang meletakkan kesemua kamera belakang telefon pintar ini yang mana panel belakangnya diperbuat daripada satu panel kaca yang direka dengan dua pilihan, iaitu warna hitam berkilat dan warna biru matte. Bagi kami, keseluruhan rekaannya nampak premium dan dalam masa yang sama bonggolnya masih tidak keterlaluan.

2. Peranti Android Pertama Yang Menyokong Fotografi Dengan Warna 10-bit

Dari segi sokongan kamera, telefon pintar ini hadir dengan kuad kamera yang menggabungkan sensor 50+50+13+3MP untuk kamera utama dan 32MP untuk rakaman swafoto. Lensa 50MP pada kamera ini adalah untuk rakaman sudut ultra lebar, dan apa yang membezakannya adalah satu lensa adalah dengan bukaan apeture f/1.8 dan satu lagi adalah dengan bukaan f/2.2. Dengan rakaman ini, ia memberikan kesan penggambaran sudut ultra lebar yang lebih baik dan lebih meluas. Kameranya juga mempunyai fungsi 1 Billion Colour Dual Primary Camera yang mampu untuk menghasilkan pewarnaan yang lebih tepat. Hal ini kerana ia merupakan telefon pintar Android pertama di dunia yang menyokong sokongan warna 10-bit secara menyeluruh. Inilah ciri utama yang hangat diperkatakan walaupun sebelum OPPO Find X3 Pro ini belum dilancarkan lagi. Melalui ciri ini, pewarnaan pada hasil rakaman akan menjadi lebih tepat dan berkualiti disebabkan spektrum warna pada gambar adalah lebih besar dengan ketepatan warna sehingga 0.4 JNCD. Hasil pewarnaannya dilihat lebih semulajadi dan tajam tanpa kesan hingar yang ketara.

Lensa 13MP telefoto dan 3MP lensa makro yang ada pada telefon pintar ini memberikan kemampuan zum hibrid sehingga 5X dan zum digital sehingga 20X. Tetapi pada lensa mikro, telefon pintar ini menyokong untuk menghasilkan rakaman zum sehingga 60X dari jarak sedekat 1cm. Ini membolehkan anda untuk dapatkan rakaman mikro dengan lebih jelas dan terperinci seolah olah rakamannya diambil menggunakan alat mikroskop yang terdapat di makmal sains. Tetapi, OPPO menyertakan fungsi rakaman ini pada OPPO Find X3 Pro yang lebih kecil dan ringan daripada mikroskop biasa serta boleh dibawa kemana-mana sahaja. Bukan sekadar itu sahaja, lensa makro 3MP ini juga menyokong untuk hasilkan rakaman video beresolusi FHD. Jelas sekali bahawa pakej kamera Find X3 pro dilihat lebih sempurna dengan padanan lensa yang berkuasa, dan dibantu pula oleh sokongan pewarnaan 10-bit, ia tentunya mampu untuk memberi hasil rakaman yang jitu seumpama dirakam menggunakan kamera professional.

3. Padanan Snapdragon 888 Bersama Memori 12GB Dan Storan 256GB

OPPO Find X3 Pro menerima janaan cip Snapdragon 888 yang dihasilkan dengan binaan teknologi 5nm. Menurut Qualcomm sendiri, sekiranya sesuatu peranti dijana dengan cip Snapdragon 888 ini, ia dapat membantu sesebuah telefon pintar itu untuk menjimatkan penggunaan kuasa sehingga 25% lebih baik jika dibandingkan dengan cip Snapdragon 865 generasi sebelumnya. Sokongan grafik untuk cip pemprosesan ini juga dibantu oleh GPU Adreno 660 yang dikatakan 35% lebih berkuasa daripada Adreno 650 sebelumnya. Melalui sokongan ini, ia sekaligus dapat memberikan kelancaran kepada paparan OPPO Find X3 ini apabila anda bermain permua kerana ia turut menyokong paparan skrin HDR 10-bit dengan kadar segar semula 144Hz pada resolusi QHD+. Tambahan pula dengan padanan memori sebesar 12GB RAM dan storan 256GB yang disertakan pada telefon pintar ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu kelancaran apabila bermain permua menggunakan OPPO Find X3 Pro ini tanpa sebarang masalah lengah masa.

4. Antaramuka ColorOS 11 Turut Membantu Kelancaran Paparan Dan Tatalan Skrin

OPPO Find X3 Pro ini juga menggunakan antaramuka ColorOS 11.2 yang mana menurut OPPO, ia mampu untuk memaparkan pewarnaan yang lebih semula jadi dan memberi keselesaan kepada mata. Malah, OPPO juga menyertakan ciri Color Vision Test yang membantu untuk memastikan warna pada skrin adalah tepat walaupun anda mempunyai masalah rabun warna. Antaramuka ColorOS 11 ini dilihat lebih kemas dan ia kini lebih selari dengan rekaan Android asli. Dibantu pula oleh sokongan skrin 120Hz, ia ternyata memberi kelancaran yang baik apabila menatal skrin OPPO Find X3 Pro ini.

Pelbagai kustomasi yang boleh dibuat melalui antaramuka ini, sekaligus memberikan fleksibiliti kepada anda untuk mendapatkan keselesaan apabila menggunakan telefon pintar ini. Melalui fungsi Fingerprint Quick Launch, anda boleh memilih aplikasi yang sering digunakan dengan lebih pantas selepas imbasan jari dibuat yang mana bagi kami imbasan yang dibuat adalah sangat pantas. Selain itu, sistem privasi juga membolehkan anda untuk mengelaskan penggunaan peranti seperti memisahkannya untuk kegunaan kerja, hiburan atau kasual dan juga privasi sendiri. Jadi anda tidak perlu risau untuk privasi anda diceroboh kerana ia membantu memelihara keselamatan anda.

5. Kapasiti Bateri Yang Mencukupi, Pengecasan Yang Pantas Dan Penjimatan Kuasa Yang Efisyen

Isu penggunaan bateri sering menjadi isu kepada sesebuah telefon pintar kelas mercu. Namun, OPPO mengatasi masalah ini adalah dengan menyertakan kapasiti bateri 4500mAh pada peranti dan dalam masa yang sama menyertakan rekaan skrin dengan kadar segar semula adaptif 120Hz yang boleh berubah secara dinamik di antara 5-120Hz mengikut keperluan aplikasi. Melaluinya, penggunaan bateri dapat dijimatkan mengikut cara anda menggunakan aplikasi pada telefon pintar, seterusnya dapat memanjangkan lagi masa penggunaan telefon pintar. Setelah menggunakannya, telefon pintar ini boleh bertahan sehingga 26 jam penggunaan walaupun skrin telefon pintar ini dalam mod 120Hz WQHD+. Namun sekiranya anda ingin panjangkan lagi masa penggunaannya, boleh kurangkan resolusi dan kadar segar semula pada bahagian tetapan.

Dari segi pengecasan, OPPO Find X3 Pro ini mampu untuk membuat pengecasan penuh dalam masa 40 minit sahaja. Terdapat dua pilihan untuk membuat pengecasan, iaitu secara berwayar 65W atau secara nirwayar 30W. Menurut OPPO juga, sistem pengecasan 65W SuperVOOC Flash Charge pada telefon pintar ini telah menerima pengiktirafan daripada TÜV Rheinland dan boleh membuat pengecasan sebanyak 40% dalam masa 10 minit.


Kesimpulan

Jadi, sekiranya anda seorang pengguna tegar Android dan ingin bertukar telefon pintar kepada peranti mercu, OPPO Find X3 Pro ini adalah model yang terbaik yang anda perlu pertimbangkan untuk dibeli. Hal ini kerana, telefon pintar ini membawakan identiti seperti sebuah peranti mercu yang premium selain spesifikasi yang cukup mengagumkan. Tambahan pula, telefon pintar ini juga merupakan peranti Android pertama di dunia yang menyokong pewarnaan 10-bit, termasuklah dari segi kameranya. Jadi untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai telefon pintar ini, nantikan pelancaran rasmi peranti mercu terbaru OPPO Find X3 Pro 5G ini pada 25 Mac 2021 pada jam 4 petang dan anda juga berpeluang untuk memenangi hadiah menarik daripada OPPO.

Layari: Laman Rasmi OPPO Untuk Maklumat Lanjut OPPO Find X3 Pro

Penafian: Advertorial daripada OPPO Malaysia


TIPS & ULASAN