Cari @ Amanz

Hotel Yang Berputar Di Atas Permukaan Laut Akan Dibina Di Qatar

Link Copied!

Roda berputar, Halim Osman memutar dan pendekar bermustar. Ini ialah permulaan artikel yang paling aneh pernah ditulis dalam sejarah Amanz. Ia adalah bersebab kerana subjek penulisannya juga aneh. Di Qatar, firma senibina Hayri Atak Architectural Design Studio (HAADS) ingin membina Eco-Floating Hotel yang berputar seperti Beyblade.

Rekaan struktur berputar bukanlah perkara baharu. Di Malaysia misalnya wujud beberapa restoran berputar yang terletak di atas menara bagi memberikan pemandangan 360 darjah kepada pelanggan. Yang menjadikan Eco-Floating Hotel unik ialah ia berputar di atas permukaan laut dan saiznya yang lebih besar dari biasa. Keseluruhan struktur hotel berkeluasan 376,000 kaki persegi yang menempatkan 152 bilik, restoran, spa dan kolam renang akan berputar 360 darjah dalam masa 24 jam. Ini bagi mengelakkan pelanggan pening kepala.

Pelanggan boleh tiba ke hotel menggunakan bot, kapal terbang laut dan juga kereta. Struktur bangunan diputar menggunakan sistem kipas seperti sebuah kapal. Bagi memenuhi tema mesra alam, kuasa elektrik akan dijana menggunakan panel solar, kincir angin dan kuasa ombak. Air yang dikumpul akan dikitar semula untuk mengairi tanaman. Pada waktu ini Eco-Floating Hotel masih dalam proses kajian dengan rekaan akhir dijangka diperlihatkan pada tahun 2025.


Komen ()