Pandang Pertama Samsung Galaxy A52 Dan Galaxy A72 – Kombinasi Elemen Lebih Baik Dengan Gaya Premium

Pandang Pertama Samsung Galaxy A52 Dan Galaxy A72 – Kombinasi Elemen Lebih Baik Dengan Gaya Premium

Diterbitkan pada Mac 17, 2021 oleh .

Kehadiran siri Galaxy A kali ini dilihat mengubah persepsi lama terhadap Samsung yang sering mengitar semula kemasan sedia ada untuk siri Galaxy A mereka. Mengapa kami bercakap sebegini, anda sendiri seakan sudah maklum kebanyakan peranti terkini di bawah siri Galaxy A mereka sering menggunakan kemasan dengan rekaan ala-ala prism dan berkilat. Tetapi, kini tidak lagi apabila terdapat sejumlah pendekatan yang sedikit berbeza telah dibuat – misalnya, kemasan pada peranti kini lebih ringkas dan minimalis bersama satu tona warna yang menyeluruh.

Bukan itu sahaja, malah jenama dari Korea Selatan berkenaan turut membuat beberapa naik-taraf yang agak besar pada siri Galaxy A mereka kali. Misalnya, penawaran skrin dengan kadar segar semula yang tinggi, ketahanan IP67, pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos dan banyak lagi. Kedengaran agak menarik bukan?

Samsung Galaxy A52 & Samsung Galaxy A72

Pengenalan siri Galaxy A kali ini memperlihatkan Samsung memperkenalkan beberapa model berbeza – ia termasuklah Samsung Galaxy A52 dan Galaxy A72. Setiap satu daripadanya mempunyai keistimewaan tersendiri yang menjadi titik tarikan masing-masing – terutamanya dari aspek dalamannya. Untuk ketahui penawaran lebih lanjut, teruskan membaca artikel pandang pertama ini. Namun begitu, perkongsian ini mungkin agak terhad kerana kami akan berkongsi lebih lanjut dalam artikel ulasan penuh kelak.


Spesifikasi Ringkas Peranti

Peranti Pintar
Nama ModelSamsung Galaxy A52Samsung Galaxy A72
Paparan6.5” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 407 PPI, 90 Hz6.7” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 394 PPI, 90 Hz
PemprosesOcta-CoreOcta-Core
CipDual 2.3GHz + Hexa 1.8GHzDual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Kalis AirIP67IP67
RAM8GB8GB
Muatan Dalaman256GB256GB
Kamera Utama64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
5MP (f/2.4) – (Kedalaman)
5MP (f/2.4) – (Makro)

*Zum Digital sehingga 10X
64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
8MP (f/2.4) – (Telefoto)
5MP (f/2.4) – (Makro)

*Zum Digital sehingga 30X 
* Zum Optikal 3X
Kamera Depan32MP (f/2.0)32MP (f/2.0)
Bateri4,500mAh + Pengecasan Pantas 25W5,000mAh + Pengecasan Pantas 25W
Sim/TelefoniNano SIM + Nano SIM / MicroSDNano SIM + Nano SIM / MicroSD
Sistem ImbasanImbasan Cap Jari & WajahImbasan Cap Jari & Wajah
Harga JualanAkan Dikemaskini Akan Dikemaskini

Paparan

Samsung Galaxy A52 dan Galaxy A72 memiliki jenis paparan yang sama – tetapi dengan persembahan saiz yang berbeza. Apakah perbezaannya? Kami akan terangkan dengan lebih lanjut sebentar lagi. Jenis panel yang digunakan oleh kedua-dua peranti ini adalah Super AMOLED dengan resolusi FHD+ dan kadar segar semula 90Hz. Turut kelihatan, Samsung turut menggunakan panel hadapan jenis berlubang di tengah pada kedua-dua model ini. Lubangnya kelihatan kecil sahaja, jadinya anda tidak perlu risau kerana ia langsung tidak menganggu pengalaman penggunaan peranti. Bahkan, paparannya dilihat cukup luas dan memadai untuk penggunaan harian rata-rata pengguna ketika ini.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa saiz skrin pada model Samsung Galaxy A72 sedikit lebih besar berbanding Galaxy A52. Di mana, Samsung Galaxy A52 dibekalkan skrin sebesar 6.5-inci. Sementara itu, Samsung Galaxy A72 pula menggunakan paparan bersaiz 6.7-inci. Perbezaan sekitar 2-inci jelas kelihatan di sini. Jadinya, anda sebagai pembeli atau pengguna kini mempunyai beberapa pilihan yang bersesuaian dengan keperluan. Maksudnya di sini, jika anda lebih menggemari peranti dengan skrin yang besar. Samsung Galaxy A72 boleh dikatakan pilhan yang sesuai. Namun jika sebaliknya, anda boleh memilih untuk miliki Samsung Galaxy A52. Dalam pada itu, binaan untuk bezel juga nampak seimbang. Boleh dikatakan, langsung tidak mendatangkan masalah untuk penggunaan pada paparan ini.

Panel Hadapan Berlubang

Buat masa ini, tiada komen negatif berkaitan skrin yang boleh kami berikan. Sebabnya, tidak kisah sama ada besar atau kecil. Boleh dikatakan, kedua-duanya masih mengetengahkan trend peranti yang selesa untuk dipegang dengan penggunaan sebelah tangan. Secara peribadi, kami juga akui memegang peranti ini buat kali pertama membuatkan kami teruja betapa kukuhnya peranti ini dibina. Ditambah pula dengan saiznya yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja – rekaan yang agak nipis menjadikannya pengalaman penggunaan yang memuaskan dapat dirasai di sini. Cumanya, kami mendapati peranti ini agak berat – ia mungkin disebabkan oleh kemasan baharu yang diketengahkan Samsung untuk kali ini.


Rekaan

Seperti yang dinyatakan di atas, Samsung kali ini tampil berbeza dengan kemasan yang lebih minimalis pada panel belakang untuk kedua-dua peranti ini. Meskipun nampak simple, namun kemasan pusam (matte) yang digunakan kelihatan cukup untuk menampakkannya premium. Bukan itu sahaja, kemasan seperti ini juga kelihatan menarik kerana pengguna kini tidak lagi dihantui dengan masalah panel belakang yang mudah memerangkap kotoran cap jari. Terdapat sehingga empat pilihan warna berbeza yang disediakan – iaitu  Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan  Awesome White.

Kemasan Pusam (Matte) Menjadi Pilihan Samsung Untuk Kali Ini

Susun atur butang standard untuk kedua-dua model juga adalah sama. Dimana, butang kuasa dan laras suara boleh ditemui pada bahagian sisi kanan. Kesemua butang yang kami sebutkan ini mempunyai binaan yang baik dan kukuh. Sementara itu, sisi kiri pula tidak menyertakan sebarang butang mahupun lubang. Bergerak ke bahagian atas, terdapatnya satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM.

Susun Atur Butang & Lubang Standard

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2). Keadaan ini secara langsung akan menyukarkan pengguna untuk memanfaatkan kedua-dua SIM secara serentak apabila kad microSD sedang digunakan. Seterusnya, sambungan penting seperti port USB-C diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama dengan bicu audio 3.5mm, lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokogan Dolby Atmos.

Slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2)

Antaramuka & Pengalaman Penggunaan

Untuk antaramuka, Samsung Galaxy A52 dan Galaxy A72 menggunakan OneUI 3.1 yang dibina berasaskan Android 11 terkini. Melaluinya, pelbagai ciri mesra pengguna yang boleh ditemui. Bukan itu sahaja, cubaan awal kami mendapati pengalaman penggunaannya juga memudahkan ramai pihak. Dalam erti kata lain, antaramukanya mudah sahaja untuk difahami dan dipelajari. Rekaan juga masih minimalis dengan pilihan warna ikon yang tidak menyakitkan mata. Kalau perasan, trend di platform Android sejak kebelakangan ini juga dilihat untuk kelihatan seperti Android asli.

Antaramuka

Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A52 dan Galaxy A72 menggunakan cip pemproses lapan teras dengan kelajuan mencecah 2.3GHz. Untuk unit yang kami terima, kedua-duanya dipadankan dengan kombinasi RAM dan storan yang baik – iaitu memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB. Kami belum benar-benar mencuba peranti ini secara sepenuhnya. Jadinya, kami akan mengulas lebih lanjut mengenai prestasi peranti dalam dunia nyata pada ulasan yang akan datang. Namun begitu, kami sempat menjalankan beberapa ujian penanda aras untuk pemerhatian awal. Berikut kami kongsikan, markah awal penanda aras Geekbench 5 dan Antutu 3D :

Penanda Aras Samsung Galaxy A52
Penanda Aras Samsung Galaxy A72

Tetapan Kamera

Selain daripada skrin, di sini juga terletaknya perbezaan yang ketara di antara Samsung Galaxy A52 dan juga Galaxy A72. Untuk tetapan kamera, kedua-duanya menyertakan sokongan kuad-kamera utama di belakang, namun mempunyai penawaran sensor yang berbeza.

Susunan Kamera Utama Samsung Galaxy A52 & Galaxy A72

Kita mulakan dengan Samsung Galaxy A52, ia dilengkapi kamera utama dengan sensor 64-Megapixel (utama) bersama sokongan OIS (optical image stabilization). Kemudian, ianya diikuti dengan sensor 12-Megapixel untuk sudut-lebar dan dua lagi sensor 5-Megapixel untuk kedalaman serta makro. Berbeza dengan Samsung Galaxy A72 pula, terdapatnya sensor telefoto 8-Megapixel yang digunakan – bersama sokongan 3X zoom optikal dan zum digital Space Zoom sehingga 30X.

Rasanya penawaran Samsung Galaxy A72 boleh dikatakan lebih menarik, ingin tahu mengapa? Kerana, ini merupakan antara ciri dan fungsi yang terdapat pada peranti mercu Samsung yang sebelum ini. Untuk Samsung Galaxy A52 pula, ianya masih memiliki sokongan untuk zum. Tetapi, ia hanya menyokong zum digital sehingga 10X. Bercakap mengenai kamera hadapan pula, kedua-duanya dilengkapi sokongan kamera swafoto tunggal sebesar 32-Megapixel.

Antaramuka Kamera Samsung Galaxy A52

Perkara lain yang kami akui suka mengenai sokongan kamera pada peranti ini adalah ianya dirasakan cukup baik untuk penggambaran harian. Bukan itu sahaja, setiap satu daripada tetapan dan fungsi juga mudah sahaja untuk digunakan. Dalam pada itu, antaramuka kamera juga kelihatan sama sahaja seperti sebelumnya.

Kami juga tidak menemui sebarang masalah dalam mengakses tetapan yang tersedia sepanjang percubaan awal ini. Kameranya turut dilengkapi fungsi Scene Optimizer bertujuan mengesan subjek secara automatik sekaligus menjadikan gambar lebih menarik. Menurut Samsung, ia mampu mengesan sehingga 30 subjek berbeza termasuklah manusia, haiwan, bangunan, text dan sebagainya.


Bateri

Panawaran pada kapastiti bateri turut memperlihatkan perbezaan agak ketara untuk kedua-dua model ini. Melaluinya, anda perlu tahu bahawa kapasiti bateri pada Samsung Galaxy A72 adalah lebih besar berbanding Galaxy A52. Di sini, ia memperlihatkan perbezaan sebanyak 500mAh – di mana, Samsung Galaxy A72 dilengkapi bateri 5000mAh. Sementara itu, bateri untuk Samsung Galaxy A52 pula sebesar 4,500mAh. Untuk pengecasan semula, kedua-duanya menggunakan port sambungan USB-C yang boleh dicas menerusi pengecasan 25W.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, penawaran Samsung Galaxy A kali ini agak menarik dengan sejumlah penambahbaikan – misalnya reka bentuk lebih kreatif, spesifikasi dalaman lebih segar dan banyak lagi. Menurut Samsung, tiada varian 5G yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Melaluinya, kita boleh klasifikasikan tindakan yag diambil oleh Samsung ini adalah sebagai bijak. Ditambah pula, rangkaian 5G di Malaysia masih belum tersedia secara umum. Jadinya, penawaran harga untuk peranti-peranti ini kelak akan lebih rendah.

Pro

  • Rekaan yang lebih minimalis, kemas dan segar
  • Skrin cantik dengan kadar segar semula tinggi
  • Pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos

Kontra

  • Kemasan cantik tetapi bahan binaan kurang memuaskan
  • Slot SIM berasaskan hibrid – menyukarkan pengguna memanfaatkan kedua-dua SIM secara serentak apabila kad microSD sedang digunakan

TIPS & ULASAN