Cari @ Amanz

Fon telinga nirwayar, ataupun TWS boleh dikatakan sangat popular untuk sekian lama, dan ia dilihat menggantikan fon telinga berwayar yang kini secara kebanyakannya tidak lagi ditawarkan walaupun bersama-sama dengan peranti pintar baru untuk mengurangkan kos pembangun.

Logitech, jenama aksesori gaming yang cukup popular baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah fon telinga berwayar baru untuk mereka yang lebih gemar menggunakan fon telinga tradisional yang tidak mudah hilang.

Fon telinga ini dinamakan Logitech G333 dan dari segi rekaan, kelihatan seperti sepasang fon telinga in-ear monitoring yang menggunakan kabel lebar yang mengurangkan kebarangkalian berbelit didalam poket. Ia juga hadir dengan pengawal tahap kelantangan audio dan butang menjawab panggilan.

Ia boleh digunakan bersama-sama peranti yang masih lagi mempunyai palam audio 3.5mm, tetapi jika anda ingin menggunakannya bersama-sama dengan peranti yang hanya mempunyai pengecasan USB-C, fon telinga G333 ini juga hadir dengan penyesuai 3.5mm kepada USB-C.

Aksesori-aksesori yang hadir dalam kotak ini termasuklah dua pilihan gabus telinga silikon dan beg menyimpan fon telinga.

Ia nampaknya sudahpun memasuki pasaran tempatan, dan dijual pada harga RM229. Jika berminat, anda boleh ke laman web Logitech Malaysia di sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd