Realme GT Disenaraihitamkan Oleh Antutu Kerana Mengelat Didalam Ujian Penanda-aras

Realme GT Disenaraihitamkan Oleh Antutu Kerana Mengelat Didalam Ujian Penanda-aras

Diterbitkan pada Mac 16, 2021 oleh .

Peranti yang mengelat dan menipu dalam ujian penanda-aras bukanlah sesuatu yang baru. Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Antutu, syarikat pembuat perisian penanda-aras peranti pintar baru-baru ini telah menyenaraihitamkan peranti Realme GT kerana menipu didalam ujian mereka.

Ujian awal Realme GT, yang dikuasakan oleh CPU Qualcomm Snapdragon 888, sama seperti yang digunakan pada Xiaomi Mi 11, ROG Phone 5, Oppo Find X3 Pro hadir dengan skor penanda-aras sekitar 750,000, jauh lebih tinggi berbanding apa yang diperlihatkan oleh Xiaomi Mi 11 dan ROG Phone 5.

Menurut Antutu, Realme GT hanya boleh mendapat skor penanda-aras tersebut melalui ujian penanda-aras multi-CPU dan penyahkod JPG mereka, dimana peranti tersebut diubahsuai untuk menggerakkan ujian-ujian ini dengan sangat cekap.

Khususnya untuk ujian penyahkod JPG, peranti yang digunakan tidak mengolah gambar yang diberikan, tetapi hanya blok-blok warna pada imej tersebut, yang membolehkannya menyiapkan ujian tersebut dalam masa yang cepat.

Antutu mengatakan bahawa walaupun peranti Realme GT ini disenaraihitamkan buat masa ini, mereka memberi peluang kepada Realme untuk memperbetulkan keadaan dengan menggerakkan semula ujian penanda-aras mereka tanpa menggunakan kaedah-kaedah menipu ini.

Kemaskini: CMO Realme, Xu Qi Chase telah mengeluarkan kenyataan di Weibo mengatakan bahawa Realme tidak mengelat didalam menggerakkan ujian penanda-aras Antutu tersebut, dan telah menghubungi syarikat tersebut untuk menerangkan bahawa semua skor penanda-aras yang diperlihatkan adalah menggunakan versi yang terbaru, dan tiada sebarang penipuan dilakukan.


Paling Popular