Carian
Pete Lau: Skrin OnePlus 9 Pro Lebih Hebat Dari Skrin Samsung Galaxy S21 Ultra
March 17, 2021 Fahim Zahar

Sejak OnePlus memperkenalkan variasi Pro pada peranti mereka, iaitu bermula dengan OnePlus 7 Pro – OnePlus mula menggunakan teknologi skrin “tersendiri” Fluid Display. Skrin ini adalah berasaskan panel Super AMOLED dari Samsung, di mana ia menyokong kadar segar semula dan juga resolusi QHD+. Terkini, untuk siri peranti mercu 2021 OnePlus iaitu OnePlus 9 Pro – mereka mula memperkenalkan Fluid Display 2.0.

Seperti biasa, peranti mercu OnePlus skrinnya akan diuji oleh DisplayMate dan OnePlus 9 Pro seperti sebelum ini tiada masalah untuk menerima skor A+ untuk peranti mereka. Seperti kebanyakan peranti mercu Snapdragon 888 tahun ini, Mi 11 atau Oppo Find X3 Pro – OnePlus 9 Pro turut menyokong paparan warna 10-bit dengan 1.07 bilion warna. Panel skrin turut mempunyai teknologi LTPO untuk kemampuan kadar segar semula adaptif 1Hz ke 120Hz. Resolusi skrin adalah QHD+ dengan kecerahan yang boleh mencapai ke 1300 nits, sokongan MEMC dan juga seperti kebanyakan peranti lain HDR10+.

Pete Lau melalui ciapan di Twitter, memperlihatkan kehebatan skrin OnePlus 9 Pro dengan kemampuan kadar segar semula lebih hebat. Jika sebelum ini peranti OnePlus sudah pun ada sokongan kadar segar semula adaptif, teknologi Hyper Touch baharu ini dilihat jauh lebih baik. Penggunaan LTPO juga boleh menjimatkan penggunaan kuasa. Pete Lau turut membandingkan skrin OnePlus 9 Pro dengan Samsung Halaxy S21 Ultra. Skrin OnePlus dilihat mempunyai kadar maklum balas atau lebih responsif.

Apa kata anda dengan teknologi skrin OnePlus 9 Pro ini? Adakah anda suka? Adakah ini cukup untuk membuatkan anda membeli peranti ini?

Komen