TikTok pada hari ini sedia dikenali ramai sebagai aplikasi untuk perkongsian video ringkas. Apa pun, dalam meningkatkan interaksi pada aplikasi berkenaan, kini Reuters melaporkan TikTok mungkin menambah ciri perbualan berkumpulan pada aplikasi mereka dalam tahun ini.
Untuk makluman, ciri ini sedia ditawarkan pada aplikasi variasi China, iaitu Douyin sejak 2019 lepas. Dengan penambahan ciri perbualan berkumpulan, ia membolehkan TikTok meningkatkan interaksi sosial melalui aplikasi tersebut.
Buat masa ini, TikTok sedia memfokuskan untuk menambah ciri edagang dan juga penstriman langsung pada aplikasi mereka. Penambahan ciri perbualan berkumpulan akan membolehkan pengguna kekal lebih lama, dan memudahkan interaksi antara pengguna, atau penerbit kandungan bersama peminat masing-masing.
Ia diperkatakan TikTok menyasarkan pengenalan ciri berkenaan pada tahun lepas, tetapi terpaksa menangguhkannya disebabkan halangan operasi dii beberapa buah negara.
Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut, dan melihat bilakah TikTok akan memperkenalkan ciri perbualan berkumpulan mereka ini.