Cari @ Amanz

Saban tahun, saiz fail aplikasi semakin besar, dimana ia akan mengambil masa untuk seseorang memuat-turunnya dan menggunakan aplikasi-aplikasi ini.

Secara teknikalnya, Google sudahpun memperkenalkan ciri memuat-turun aplikasi secara separa, dan pengguna boleh menggunakannya sementara ciri-ciri lain dimuat-turun. Terkini, Google nampaknya akan mengambil konsep tersebut secara lebih mendalam, dan menggunakan bantuan orang ramai untuk melihat ciri-ciri manakah yang lebih digunakan, dan akan memuat-turunnya terlebih dahulu untuk digunakan.

Google nampaknya akan mengesan penggunaan aplikasi-aplikasi di bahagian tersebut, dan melihat aspek apakah yang paling sering digunakan. Menggunakan algoritma pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, pengguna yang memuat-turun aplikasi-aplikasi ini akan terlebih dahulu memuat-turun bahagian yang paling popular, dan boleh terus menggunakannya sementara menunggu bahagian-bahagian lain dimuat-turun.

Fungsi seperti ini berguna untuk aplikasi-aplikasi besar, khususnya permua (permainan mudah-alih) yang rata-rata mengambil masa sangat panjang untuk dimuat-turun. Pengguna boleh memuat-turun sebahagian daripada aplikasi ini dan menggerakkannya sementara mod dan aset-aset lain dimuat-turun di latar belakang.

Laporan 9To5 Google turut mengatakan bahawa ciri muat-turun pintar ini boleh diaktifkan ataupun dipadamkan melalui Google Play Store apabila ia diperkenalkan kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd