Google Chrome Kini Hadir Dengan Ciri Live Captions Pada Semua Pelayar Web Mereka

Google Chrome Kini Hadir Dengan Ciri Live Captions Pada Semua Pelayar Web Mereka

Diterbitkan pada Mac 18, 2021 oleh .

Dua tahun dahulu, apabila Android Q atau lebih dikenali sebagai Android 10 diperkenalkan, Google telah memperlihatkan fungsi sarikata automatik yang dinamakan Live Captions untuk peranti-peranti Google Pixel. Melalui ciri ini, peranti-peranti tersebut akan memperlihatkan sarikata secara automatik melalui apa-apa aplikasi yang mengeluarkan audio percakapan.

Terkini, Google nampaknya telah memperlihatkan ciri tersebut melalui pelayar web Google Chrome mereka, dimana sarikata akan dipaparkan secara automatik jika sebarang audio dengan percakapan sedang dimainkan. Menariknya, fungsi ini bukan sahaja terhad kepada YouTube, tetapi sebarang perkhidmatan audio yang dimainkan melalui pelayar web tersebut seperti Spotify, Twitch, SoundCloud dan sebagainya.

Ciri ini kini hadir melalui binaan Chrome 89 stabil, dan boleh diaktifkan melalui menu tetapan. Anda hanya perlu memasuki menu tetapan Advanced, dan kemudian ke bahagian Accessibility dimana anda boleh mengaksesnya di sana.

Buat masa ini, fungsi sarikata Live Captions ini hanya menyokong Bahasa Inggeris dan masih mempunyai beberapa isu seperti tidak dapat menangkap percakapan laju, tetapi ia masih lagi sebuah fungsi berguna yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.


Paling Popular