Cari @ Amanz

Dibawah pelan JENDELA, semua syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah diarahkan untuk memperbaiki mutu rangkaian telekomunikasi tempatan, khususnya rangkaian 4G supaya semua rakyat Malaysia dapat berkomunikasi dengan mudah dan juga memanfaatkan sambungan internet yang pantas tidak kira lokasi mahupun taraf hidup.

Terkini, Celcom, Digi dan Maxis telah mengumumkan sebuah kerjasama baru dimana mereka akan berkongsi kepakaran untuk merancang, membina dan menyelenggara infrastruktur gentian fiber yang akan digunakan bukan sahaja untuk memastikan rangkaian 4G mereka cukup kuat, tetapi juga untuk merancang masa hadapan dimana rangkaian 5G tempatan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi.

Kerjasama ini akan membolehkan ketiga-tiga syarikat telekomunikasi ini untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian gentian optik ke seluruh negara dan mengurangkan masalah pertindihan infrastruktur yang akan merugikan pelbagai pihak. Ia juga dijangka bahawa dengan perjanjian ini, ketiga-tiga syarikat ini akan bersedia untuk peningkatan kadar penggunaan data internet apabila penggunaan 5G meledak kelak.

Perkongsian infrastruktur diantara syarikat-syarikat telekomunikasi juga bukanlah sesuatu yang baru. Celcom, Digi dan Maxis sudahpun sebelum ini berkongsi infrastruktur telekomunikasi tempatan sejak awal tahun 2000 lagi apabila gentian optik mula diperkenalkan secara meluas di Malaysia.

Perjanjian pembangunan dan penyelenggaraan rangkaian gentian optik ini akan berterusan selama 20 tahun, dimana ketiga-tiga syarikat ini sudahpun memulakan perancangan untuk pembangunan infrastruktur ini di seluruh Malaysia. Ia turut dilaporkan bahawa syarikat-syarikat telekomunikasi lain yang ingin menggunakan rangkaian gentian optik ini untuk menambahkan kapasiti rangkaian mereka sendiri boleh berbincang untuk melakukannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd