Beberapa tahun lepas, Redmi hanyalah salah satu model peranti kelas pertengahan Xiaomi sahaja. Semua peranti dijual pada harga mampu milik dan binaan adalah plastik untuk kesemua peranti. Sejak Redmi diasingkan sebagai sub-jenama, peranti Redmi mula menjadi lebih premium dan tidak terhad kepada kelas pertengahan sahaja. Redmi turut mempunyai peranti mercu, pelbagai komputer riba, peranti berhubung dan banyak lagi.

Hanya sekelip mata, Redmi Note kini sudah ke generasi ke 10? Atau generasi ketiga untuk jenama tersendiri Redmi, iaitu siri Redmi Note 10. Buat pertama kalinya, peranti Redmi direka dengan rekaan yang lebih premium sehingga sukar untuk ketahui adakah ini peranti mampu milik atau peranti mercu. Siri Redmi Note 10 juga buat pertama kali menggunakan skrin AMOLED dan bukan lagi LCD. Rekaan nipis yang bergaya, kamera lebih hebat dan cip pemprosesan yang terkini. Adakah ini peranti kelas pertengahan terbaik pernah Redmi hasilkan?
Spesifikasi Dan Rekaan
Redmi Note 10 | Redmi Note 10 Pro | |
Skrin | 6.43″ AMOLED FHD+, 60Hz, 8-bit | 6.67″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10, 8-bit |
Pemproses | Snapdragon 678 (11 nm) | Snapdragon 732G (8 nm) |
Cip | 2 x 2.2 GHz Kryo 460 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 460 Silver | 2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver |
Cip Grafik | Adreno 612 | Adreno 618 |
RAM | 4/6 GB LPDDR4X | 6/8 GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 64/128 GB UFS 2.2 | 128 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama | 48MP+8MP+2MP+2MP f/1.79+f/2.2+f/2.4+f/2.4 Potret mod malam AI, SkyScaping 3.0 | 108MP+8MP+5MP+2MP f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4 Moving crowd, Oil painting, Star trails, Night mode 2.0 |
Kamera Swafoto | 13 Megapixel f/2.45 Selfie Night Mode, HDR | 16 Megapixel f/2.45 Selfie Night Mode, AI Beautify |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 33W | 5020mAh Pengecasan berwayar 33W |
Slot SIM / Telefoni | Dwi SIM nano / MicroSD / 4G | Dwi SIM nano / MicroSD / 4G |
NFC | Tiada | Ya |
Bicu Audio | Ya | Ya |
Kalis Air | IP53 | IP53 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal di sisi | Pengimbas jari fizikal di sisi |
Harga Jualan | Bermula RM699 | Bermula RM999 |
Siri Redmi Note 10 kedua-dua peranti yang dijual di Malaysia menggunakan rekaan yang lebih kurang sama sahaja. Pertama yang paling jelas adalah, peranti dengan bateri 5000mAh dan 5020mAh tetapi masih kekal nipis. Di tangan peranti ini sedap dipegang, seperti memegang sebuah peranti mercu. Binaan yang premium, cantik, kemas dan minimalis ini membuatkan mereka yang hanya mampu membeli peranti kelas pertengahan merasai bagaimana memegang sesebuah peranti mercu.


Redmi Note 10 menggunakan skrin 6.43-inci dan Pro menggunakan saiz 6.67-inci, kedua-duanya adalah AMOLED dan antara yang terawal menggunakan rekaan skrin berlubang kamera swafoto di tengah. Model biasa mempunyai dagu yang lebih tebal dan nampak macam peranti Redmi yang biasa, tetapi yang Pro memang nampak macam sebuah peranti untuk kegunaan profesional. Beza seterusnya adalah versi Pro hadir dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, di mana versi biasa terhad dengan 60Hz sahaja.
Cip pemprosesan yang dipilih adalah Snapdragon 678 dan Snapdragon 732G, di mana adalah dua jenis cip pemprosesan berbeza. Satu 11nm dan satu 8nm. Tetapi menjadi persoalan, prestasi dan pengalaman penggunaan itu bagaimana? Kedua-dua adalah lapan-teras dan di atas kertas beza ketara hanya 0.1GHz sahaja. Jadi apa yang membuatkan Pro lebih hebat dari biasa adalah binaan 8nm yang lebih efisien dari setiap sudut untuk prestasi.

Syukur, Redmi menawarkan pilihan memori mencapai 8GB RAM dan storan sehingga 128GB. Jenis storan pula adalah UFS 2.2, yang mana sedikit lebih baik dari UFS 2.1. Kamera 48MP+8MP+2MP+2MP untuk model biasa kelihatan sudah memadai, tetapi pada Pro Redmi memuatkan lensa 108MP+8MP+5MP+2MP yang mana adalah seakan Mi Note 10 Lite yang lebih “lite”.
Sensor-sensor juga masih sama seperti kedua-duanya masih mempunyai sensor infra merah, kedua-dua menyokong perlindungan IP53 untuk kalis percikan dan kedua-dua walaupun sudah tahun 2021 masih menyertakan port bicu audio 3.5mm. Pro mempunyai NFC terbina memudahkan penggunaan kunci fizikal dwi-faktor pengesahan atau pembayaran nirwayar. Sekuriti di sini menjadi tanda tanya, kerana dari perisian ada sokongan nyahkunci imbasan wajah menggunakan kamera swafoto. Di mana tutup mata pun boleh menyahkunci, pakai pelitup muka pun kadangkala boleh. Isu ini kerap berlaku pada variasi biasa, variasi Pro ada masalah tetapi tidak kerap.

Pengimbas cap jari fizikal disertakan di sisi, di mana ini adalah pilihan baik untuk menawarkan proses menyahkunci yang lebih pantas. Tetapi dengan menggunakan panel AMOLED dan tiada pengimbas cap jari bawah skrin, ia membuatkan peranti ini kelihatan seperti perantu Redmi lama sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pengguna yang tidak begitu pentingkan skrin LCD atau AMOLED, akan rasakan Redmi masih lagi Redmi. Menurut wakil Xiaomi Malaysia, ini adalah untuk menawarkan bateri lebih besar dan rekaan lebih nipis.
Pengalaman Penggunaan
Untuk peranti kelas pertengahan mampu milik yang menggunakan skrin AMOLED, sudah semestinya kualiti skrinnya tidak sehebat peranti mercu yang dijual pada harga berkali ganda. Tetapi untuk Redmi dan peranti yang dijual pada harga bermula RM699 sehingga RM1099, ini adalah antara skrin peranti kelas pertengahan terbaik. Warna yang cukup baik dan terang, warna hitam OLED yang cukup baik dan memberikan pengalaman menonton video yang cukup hebat. Versi biasa mungkin menjengkelkan sedikit kerana dagu tebal, tetapi disebabkan ianya OLED kamera swafoto hampir menjadi halimunan di sebalik video yang gelap.
Kecerahan sahaja yang menjadi masalah, versi biasa sedikit malap berbanding Pro. Tetapi ia tidak teruk dan tidak begitu sukar untuk cuba menggunakan skrin di bawah cahaya matahari terik. Kepuasan akan lebih dirasai dengan versi Pro kerana boleh memaparkan kandungan HDR dan mempunyai sokongan kadar segar semula 120Hz.

Sudah menjadi trend yang peranti kelas pertengahan hadir dengan sokongan kadar segar semula tinggi. Versi Pro dukacitanya terhad dengan 60Hz sahaja. Walaupun begitu, kedua-dua skrin peranti ini cukup memadai untuk apa jua tugasan. Versi Pro cuma menjadikan peranti terasa lebih pantas dan laju ketika menatal. Itu sahaja, ia hanya sekadar untuk menjadikan sebuah Redmi Note 10 menjadi sedikit lebih Pro. Sisteml kadar segar semula masih lagi tidak begitu konsisten berbanding peranti mercu.
Apa yang penting adalah, siri Redmi Note 10 kedua-duanya walaupun cip berbeza ia masih memberikan pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama. Beza hanya kecil yang mana pada sesetengah orang mungkin mereka tidak hiraukan pun 120Hz atau 90Hz.
Prestasi sudah tentu versi Pro lebih baik, dari pengurusan memori, multi-tugasan, bertukar-tukar aplikasi dan sebagainya. Kedua-dua unit ulasan kami adalah 6GB RAM, jadi mudah untuk kami bandingkan kedua-duanya. Di sini membuktikan yang peranti kelas pertengahan Redmi memerlukan memori 6GB RAM paling minima kerana pengalaman penggunaan peranti lepas Redmi dengan 4GB RAM adalah agak teruk.

Peranti-peranti ini juga tiada isu memanas yang teruk dan hanya suam sahaja untuk penggunaan harian. Begitu juga dengan penggunaan kamera, walaupun merakam video 4K ia tidak panas yang terus dan masih boleh dipegang dengan baik. Isu hanya jelas kelihatan ketika bermain permua. Permua yang diuji, atau apa yang kami jalankan untuik menyeksa siri Redmi Note 10 ini adalah Genshin Impact.
Kedua-dua peranti ini digalakkan main pada tetapan medium sahaja. Sayang sekali 60FPS sukar sekali dicapai untuk kedua-dua peranti ini. Dalam menjalankan permua sekitar 15 minit, peranti masih tidak memanas dan hanya suam. Seperti menggunakan kamera, ia tidak panas gila sehingga sukar untuk dipegang. Cuma selepas beberapa minit lagi, versi biasa mula lengah masa dan tersangkut-sangkut berbanding versi Pro yang masih lancar. Bermain PUBG Mobile juga mempunyai nasib yang lebih kurang sama. Terhad kepada tetapan medium sahaja, tetapi versi Pro jika ditetapkan ke tetapan High ia masih boleh dijalankan cuma panas terlampau mula berlaku dan lengah masa yang tidak boleh dimaafkan bermula.
Penanda Aras
Ujian penanda aras kali ini sedikit berbeza. Ini kerana Redmi Note 10 Pro tidak boleh menjalankan aplikasi Geekbench 5, tetapi Redmi Note 10 boleh. Lain-lain aplikasi seperti AnTuTu dan Don’t Kill My App tiada masalah untuk dijalankan. Baiklah, Snapdragon 678 dibina dengan rekaan 11nm dan Snapdragon 732G pula 8nm. Secara teori Snapdragon 7xx adalah lebih berkuasa dari Snapdragon 6xx dan skor penanda aras sepatutnya jauh berbeza.

Dalam ujian kami, AnTuTu memaparkan skor yang lebih kurang sama. Kedua-dua peranti menerima skor dalam kategori 200,000. Seperti biasa, kami menggunakan aksesori penyejuk Black Shark untuk ujian pada suhu yang optimum. Redmi Note 10 Pro menerima 289,166 pada ujian pertama dan sekitar 270,000 pada ujian kedua dan ke atas. Redmi Note 10 pula memperoleh skor 232950 dan sekitar skor yang sama untuk ujian seterusnya.
Ini adalah skor yang biasa diperoleh untuk cip dalam kategori ini. Skor pun adalah nombor semata-mata dan penggunaan sebenar adalah penanda aras yang betul. Apa yang penting, kedua-dua peranti ini mempunyai prestasi yang baik untuk penggunaan harian.
Perisian
MIUI 12 masih lagi digunakan pada kedua-dua peranti ini. Tetapi ia berasaskan Android 11. Agak mengecewakan yang Xiaomi mengambil masa yang agak lama untuk menawarkan MIUI 12.5 yang sepatutnya mempunyai kemampuan yang lebih hebat dengan fungsi dan ciri lebih menarik. Cukup baik yang walaupun kedua-dua ini adalah peranti kelas pertengahan, ia sudah hadir dengan Android 11. Sedangkan masih ada peranti dalam kelas yang sama yang baru dijual di pasaran tempatan hadir dengan Android 10 lagi.

Elemen-elemen Android asli Android 11 banyak boleh digunakan dengan lancar sekali. MIUI 12 dengan rekaan yang masih sama dengan MIUI 11 tidak membosankan kerana masih lancar dan tidak ada masalah sistem tergendala atau lengah masa. Secara keseluruhan, MIUI 12 yang digunakan masih sama – hanya MIUI 12.5 mempunyai banyak perubahan ketara. Buat masa ini, MIUI 12 sedia ada ini amat sesuai digunakan oleh bekas pengguna peranti Android asli dan juga iOS.

Antaramuka MIUI 12 yang mirip dengan iOS ini lebih kemas dan lebih cantik. Ia disusun rapi, mudah dikawal dan dikendalikan. Penggunaan keseluruhan juga mudah dengan banyak ciri dan fungsi yang pada suatu masa dahulu adalah gimik, kini adalah alatan yang amat berguna. Dari Game Turbo untuk permua, aplikasi kamera yang banyak penuras dan pelbagai kesan visual menarik serta kemampuan berinteraksi dengan peranti lain seperti berkongsi fail dengan jauh lebih pantas.

Tidak dinafikan yang Xiaomi cuba sedaya upaya membaiki paparan notifikasi. Baik Mi 11, Redmi Note 10, jika MIUI sahaja pasti akan ada masalah notifikasi. Kini ada banyak mod dan jenis untuk pengguna berinteraksi dengan talam notifikasi. Pengoptimasian MIUI juga sudah semakin baik kerana pada peranti mercu dan peranti kelas pertengahan ia mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama.

Ada beberapa fungsi dan ciri yang terhad kepada versi Pro sahaja, seperti Mi Share tidak terbina dalam Redmi Note 10 dan terhad menggunakan Share Me atau Nearby Share sahaja. Kemudian Redmi Note 10 disebabkan ia terhad kepada 60Hz, sistem dengan sedaya upaya cuba mimik peraliahan animasi pantas seakan 120Hz. Jadi ini menyebabkan menatal pada skrin Redmi Note 10 sedikit aneh. Sususan dan beberapa elemen MIUI juga sedikit berbeza pada versi biasa, di mana versi biasa lebih mirip dengan MIUI versi lama di China.
Kamera

Kamera pada versi Pro memang seakan peranti yang “pro”, iaitu sistem kuad kamera dari gabungan lensa 108MP+8MP+5MP+2MP dengan bukaan lensa f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4. BUkan itu sahaja, dari perisian Redmi menawarkan pelbagai mod kreatif seperti Moving crowd, Oil painting, Star trails dan Night mode 2.0. Versi Pro turut mempunyai kemampuan fotografi yang menarik dan memuaskan untuk peranti kelas pertengahan dalam kelas ini. Kamera swafoto pula adalah 16MP dengan bukaan lensa f/2.45. Ia juga dikuasakan dengan sistem kecerdasan buatan Selfie Night Mode dan mod kecantikan baharu.

48MP+8MP+2MP+2MP pula adalah gabungan lensa untuk sistem kuad kamera pada versi biasa. Ia mempunyai bukaan lensa f/1.79+f/2.2+f/2.4+f/2.4 dan turut mempunyai beberapa mod kecerdasan buatan seperti potret mod malam, SkyScaping 3.0 dan banyak lagi. Videografi pada peranti ini terlampau asas, di mana tiada mod kreatif seperti pelbagai pilihan penuras atau mod Vlog, klon dan sebagainya. Kamera swafoto adalah 13 Megapixel f/2.45 dengan sokongan Selfie Night Mode, HDR dan beberapa lagi.
Kualiti Gambar
Kualiti gambar pada peranti kelas pertengahan seperti siri Redmi biasanya mempunyai hasil yang hanya bolehlah. Tetapi dengan Redmi Note 10, perubahan mula kelihatan di mana kemampuan fotografi adalah jauh lebih baik. Ini menjadikan peranti ini seronok digunakan sebagai kamera sampingan. Walaupun beza lensa 48MP vs 108MP adalah jauh, Megapixel adalah saiz bukan penentu kualiti gambar. Kedua-dua peranti ini mempunyai hasil yang cantik, terang, warna yang baik dan juga agak mengejutkan.
Redmi Note 10 Pro






Tidak banyak peranti yang dijual pada harga sekitar RM699-RM1099 mempunyai kemampuan kamera sehebat kedua-dua peranti ini. Mod biasa atau mod automatik dilihat cukup baik. Fokus juga tiada masalah dan cukup pantas dan setakat untuk berkongsi hasil di media sosial – kedua-dua peranti ini sudah cukup baik. Mod makro, mod sudut ultra lebar dan zum digital semuanya disokong. Begitu juga dengan mod malam, di mana kesemua mod ini mempunyai hasil yang baik
Gambar potret dan kamera swafoto pula juga cukup baik dan terang, Masih ada masalah wajah yang dilembutkan dengan mod kecantikan. Tetapi ia boleh diterima. Mod potret tidak begitu kemas, tetaopi untuk peranti dalam kelas ini – ini adalah yang akan memikat hati anda.
Redmi Note 10






Sampel video adalah untuk Redmi Note 10 Pro, di mana versi biasa hanya mempunyai kemampuan video yang asas sahaja. Mod Pro sedikit ke arah pengalaman seakan peranti mercu atau Mi Note 10 Lite, tetapi warna masih tidak begitu cantik. Cuma ia antara yang terbaik dalam kelas ini.
Telefoni Dan GPS
Kedua-dua peranti ini juga tiada masalah dalam membuat panggilan telefon. Ia cukup jelas, tetapi di suasana yang bising mikrofon sedikit sukar menangkap audio yang disampaikan. Cuma secara keseluruhan ia baik sekali tanpa ada masalah dari segi hingar atau terputus-putus.


Kedua-dua model terhad dengan 4G sahaja. Rangkaian internet adalah lebih kurang sama, masing-masing menerima 4G dan cukup stabil. Tetapi Pro lebih stabil dan pantas dalam memuat turun sesuatu. GPS pula tiada masalah, ada sedikit sela masa mengunci lokasi tetapi sekatak perjalanan sekitar Kuala Lumpur – tiada masalah sesat atau hilang penjejakan.
Audio
Sejak dari tahun lepas bermula dengan Poco X3 NFC, Xiaomi dilihat mula menyertakan beberapa fungsi dan ciri premium pada peranti bajet mereka. Antaranya adalah pembesar suara stereo. Redmi Note 10 dan Redmi Note 10 Pro menyokong pembesar suara stereo dan ia boleh mengeluarkan bunyi yang cukup kuat dan lantang. Ini membuatkan kedua-dua peranti menyokong fungsi pembersihan pembesar suara jika air atau habuk termasuk.

Kualiti audio adalah biasa sahaja. Pembesar suara peranti ini lebih kepada kuat sahaja dan tidak mempunyai definisi atau profil yang baik. Ia lebih kepada flat dan tidak mempunyai bass yang berdentum dengan kuat. Ini mungkin tidak menjadi masalah kerana harga jualan peranti yang mampu milik. Bukan itu sahaja, peranti juga masih mengekalkan port bicu audio 3.5mm untuk menggunakan aksesori audio lain.
Bateri
Kedua-dua peranti ini menggunakan kapasiti bateri 5000mAh (biasa) dan 5020mAh (Pro) dengan sokongan pengecasan pantas 33W. Sistem pengecasan pantas adalah berwayar, di mana adalah berasaskan Quick Charge 3. Ini bermakna, pengguna boleh menggunakan pengecas lain yang ada sokongan QC3 dan boleh mencapai 33W. Lebih selamat gunakan sahaja pengecas tersedia, jika tidak cari yang GaN atau PD yang universal.

Ketahanan bateri adalah antara yang terbaik dalam peranti kelas pertengahan Xiaomi. Kedua-dua Redmi Note 10 mempunyai ketahanan yang lebih kurang sama. Jika anda lihat imej tangkapan layar di atas, ia sedikit berbeza kerana MIUI 12 di Redmi Note 10 biasa dan Redmi Note 10 Pro adalah sedikit berbeza. Tetapi kedua-duanya boleh mencapai sehingga 9-10 jam SOT dalam masa dua hari tanpa sebarang masalah dengan penggunaan yang ringan.


Penggunaan yang ekstrem, sekitar 6-8 jam sehari pasti tiada masalah. Kami uji bermain permua, kamera, aplikasi media sosial, menstrim audio dan video – semuanya boleh bertahan sehari penuh. Penggunaan ringan seperti sekadar media sosial dan layari web sahaja, dua hari boleh sahaja kedua-dua peranti ini bertahan. Apa yang tidak menarik adalah kuasa 33W tidak sepantas mana dan biasa sahaja. Kemudian, peranti sedikit memanas ketika mengecas peranti.
Pesaing
Redmi Note 10 | Redmi Note 10 Pro | Vivo Y31 | |
Skrin | 6.43″ AMOLED FHD+, 60Hz, 8-bit | 6.67″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10, 8-bit | 6.58″ IPS LCD FHD+, 60Hz |
Pemproses | Snapdragon 678 (11 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 460 Gold 6 x 1.7 GHz Kryo 460 Silver | Snapdragon 732G (8 nm) 2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold 6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver | Snapdragon 662 (11 nm) 4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold 4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver |
Cip Grafik | Adreno 612 | Adreno 618 | Adreno 610 |
RAM | 4/6 GB LPDDR4X | 6/8 GB LPDDR4X | 8GB |
Muatan Dalaman | 64/128 GB UFS 2.2 | 128GB UFS 2.2 | 128GB |
Kamera Utama | 48MP+8MP+2MP+2MP f/1.79+f/2.2+f/2.4+f/2.4 Potret mod malam AI, SkyScaping 3.0 | 108MP+8MP+5MP+2MP f/1.9+f/2.2+f/2.4+f/2.4 Moving crowd, Oil painting, Star trails, Night mode 2.0 | 48MP+2MP+2MP f/1.79+f/2.4+f/2.4 Night, Portrait, Photo, Video, Pano, Live Photo, Slo-Mo, Time-Lapse, Pro, DOC , AI 48MP |
Kamera Swafoto | 13 Megapixel f/2.45 Selfie Night Mode, HDR | 16 Megapixel f/2.45 Selfie Night Mode, AI Beautify | 8 Megapixel f/1.8 |
Pembesar Suara | Stereo | Stereo | Audio Booster |
Bateri | 5000mAh Pengecasan berwayar 33W | 5020mAh Pengecasan berwayar 33W | 5000mAh Pengecasan berwayar 18W |
Kalis Air | IP53 | IP53 | Tiada |
Harga Jualan | Bermula RM699 | Bermula RM999 | RM999 |
Kesimpulan
Maka dapat disimpulkan di sini bahawa siri Redmi Note 10 kali ini seakan meletakkan satu tanda aras baharu buat peranti kelas pertengahan. Ia bukan sekadar menarik perhatian, tetapi hadir dengan ciri premium serta kemasan yang eksklusif seakan peranti mercu. Dengan binaan yang nipis, ringan dan langsung tidak terasa murah – sekaligus menjadikan siri Redmi Note 10 ini seakan tampil dengan identiti serba baharu yang lebih segar.

Penawaran menarik ini bukan hanya dari luaran semata, bahkan juga dari dalaman. Di mana, boleh dikatakan prestasinya adalah seperti yang kami harapkan dan ia langsung tidak menunjukkan perbezaan ketara antara kedua-duanya. Aspek positif lain pada peranti ini juga adalah prestasi sekuriti yang pantas serta keupayaan kamera untuk merakam imej yang baik. Kami akui, ia mungkin bukanlah yang terbaik. Tetapi, keupayaannya di sini mampu untuk memenuhi keperluan ramai pengguna masa kini. Dengan pilihan mod dan fungsi kamera yang pelbagai – ia membolehkan pelbagai karya kreatif boleh dihasilkan oleh pengguna menerusi penawaran tersebut. Keupayaan bateri juga boleh dipuji kerana mampu bertahan dengan lama tanpa sebarang masalah. Lagi menarik, kalau anda jenis yang kurang menggunakan peranti pintar. Telefon ini mampu bertahan lebih daripada satu hari.

Natijahnya di sini, kedua-duanya semakin bagus. Tetapi, Redmi Note 10 ini penawaran lebih asas – di mana, sejumlah penawaran pada versi Pro tidak semuanya ada pada peranti ini. Ia bagaimanapun, masih baik untuk mereka yang mahukan peranti menarik berkuasa pada harga mampu milik. Masakan tidak, pelbagai ciri menarik yang ada dekat peranti rasanya sukar untuk dijumpai pada sejumlah peranti lain dengan harga permulaan di bawah RM700. Redmi Note 10 dilengkapi skrin AMOLED 90Hz, bateri besar dengan pengecasan pantas 33W dan banyak lagi.

Namun begitu, jikalau anda mahukan rasa yang lebih premium seakan menggunakan peranti mercu. Redmi Note 10 Pro adalah lebih sesuai. Skrinnya lebih tinggi 120Hz AMOLED, pengecasan juga pantas 33W dan harga juga sangat diluar jangkauan iaitu bermula RM999 untuk model asas. Bagi yang berminat, kedua-dua telefon ini telah mula ditawarkan untuk pengguna di Malaysia. Ia boleh didapati menerusi sejumlah platform berbeza termasuklah – kedai atas talian rasmi Xiaomi di Lazada.
Pro
- Skrin AMOLED yang cantik dengan kadar segar semula tinggi
- Harga permulaan di luar jangakauan akal
- Bateri tahan lama dengan pengecasan pantas 33W & port sambungan terkini USB-C
- Keupayaan kamera kini tambah baik
- Prestasi menakjubkan & tidak jauh beza antara kedua-dua model
Kontra
- Tidak semua fungsi pada versi pro, terdapat pada versi standard
- Masalah kotoran cap jari mudah kelihatan pada panel belakang
- Sistem sekuriti yang pantas dan lancar, tetapi masih terdapatnya masalah pada imbasan wajah terutamanya untuk model Redmi Note 10
- Antaramuka MIUI yang digunakan tidak konsisten untuk kedua-dua model
