OnePlus 9 Pro Akan Menyokong Pengecasan Nirwayar Pantas 50W – 100% Dalam Masa 43 Minit

OnePlus 9 Pro Akan Menyokong Pengecasan Nirwayar Pantas 50W – 100% Dalam Masa 43 Minit

Diterbitkan pada Mac 19, 2021 oleh .

Sejak daripada OnePlus 6 lagi, OnePlus telah menggunakan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Sejak itu, majoriti peminat inginkan sokongan pengecasan nirwayar – tetapi OnePlus tetap berdegil. Akhirnya selepas bertahun menanti, OnePlus 8 Pro hadir dengan sokongan pengecasan ini. Bukan itu sahaja, ia boleh mengecas peranti secara nirwayar pada kuasa 30W melalui OnePlus Warp Charge 30 Wireless.

Untuk OnePlus 9 Pro, OnePlus telah memperlihatkan kuasa pengecasan pantas mereka melalui satu video acah. OnePlus dilihat menggunakan teknologi pengecasan nirwayar baharu yang boleh mengecas peranti sehingga 100% dalam masa 43 minit sahaja. Sistem pengecasan ini mungkin adalah 50W, yang mana ada kemungkinan besar pengguna perlu membeli pengecas lain – kerana model lama hanya 30W.

Bukan itu sahaja, OnePlus sekali lagi melakukan strategi kemaskini pengecasan melalui perisian. Di mana OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro walaupun menggunakan pengecasan pantas 65W yang sama dengan OnePlus 8T, Warp Charge 65 – kedua-dua peranti baharu ini boleh dicas dari 1% sehingga 100% dalam masa 29 minit. 10 minit lebih jimat dari OnePlus 8T.

Pada hemat saya, selagi OnePlus menggunakan pengecasan tersendiri dan menjual pada harga mahal atau tiada piawaian pengecasan nirwayar universal – ia mungkin sukar menarik perhatian orang ramai. Tidak ramai yang sanggup beli pengecas nirwayar yang beratus ringgit hanya selepas setahun membeli model tahun lepas.


Paling Popular