MySejahtera Hadir Dengan Ciri Pasport Kesihatan Yang Memperlihatkan Butiran Vaksinasi

Diterbitkan pada Mac 19, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Aplikasi MySejahtera yang bermula sebagai aplikasi pengesanan kontak rapat kini hadir dengan sejumlah ciri baru dimana ia boleh digunakan sebagai cara untuk memperlihatkan perincian kes-kes harian COVID-19 di Malaysia dan juga cara untuk mengesahkan temujanji penerimaan suntikan vaksinasi COVID-19.

Terkini, Khairy Jamaluddin, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah memperlihatkan pula ciri pasport kesihatan yang terbina didalam aplikasi tersebut.

Melalui tangkapan layar yang diperlihatkan, pasport kesihatan ini hadir dengan nama dan nombor kad pengenalan pengguna, status jangkitan COVID-19 pengguna, lokasi dimana suntikan vaksinasi diberikan, dan juga jenis vaksin dan pengeluar vaksin tersebut.

Butiran pasport kesihatan ini dikatakan boleh diakses melalui laman profil MySejahtera selepas menerima suntikan vaksinasi pertama.

Beliau turut mengatakan bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam proses perbincangan dengan kerajaan-kerajaan lain untuk membenarkan pasport kesihatan ini untuk digunakan sebagai cara untuk mengesahkan bahawa rakyat Malaysia yang mengembara ke luar negara telah menerima suntikan vaksinasi.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami