Cari @ Amanz

Poco malam ini telah melancarkan peranti terbaru mereka untuk tahun ini. Kali ini mereka telah melancarkan sebuah peranti yang benar-benar akan menarik perhatian semua orang, iaitu pengganti sebenar kepada Poco F1. Poco telah melancarkan Poco X3 Pro. Walaupun nama bukan dalam siri F, tetapi spesifikasi dan harga jualan memberi petanda yang peranti ini adalah penggantinya.

Poco X3 Pro menggunakan rekaan yang sama dengan Poco X3 NFC pada tahun lepas. Luaran 99% lebih kurang sama, tetapi ia menggunakan perlindungan Gorilla Glass 6 yang lebih kukuh. Spesifikasi pula adalah lebih hebat, di mana ia boleh dikatakan ini mungkin adalah pembunuh peranti mercu 2021? Ia menggunakan skrin IPS LCD DotDisplay 6.67-inci dengan sokongan kadar segar semula 120Hz, resolusi FHD+, mampu paparkan kandungan HDR10 dan kadar sentuhan 240Hz.

Cip yang digunakan adalah Snapdragon 860, yang mana adalah cip yang berasaskan Snapdragon 855+. Cip ini masih lagi 7nm dan juga tiada modem 5G sebaliknya terhad dengan 4G. Kuasa pemproses adalah mencapai 2.96GHz, GPU Adreno 640 dan dipadankan dengan pilihan memori sehingga 8GB RAM atau pilihan storan sehingga 256GB yang berasaskan UFS 3.1. Storan turut boleh dikembangkan lagi dengan penggunaan kad mikroSD 1TB. Untuk sekuriti, pengimbas cap jari fizikal disertakan di sisi peranti.

Kamera pula adalah 48MP, sedikit berbeza dengan Poco X3 NFC yang menggunakan kamera 64MP. Ia turut mempunyai lensa sudut ultra lebar 8MP dan dua lensa 2MP untuk makro dan kedalaman. Kamera swafoto pula adalah 20MP. Bateri adalah 5160mAh dengan sistem pengecasan pantas 33W berwayar, masih mempunyai pembesar suara stereo, sensor infra merah, dan NFC. Peranti ini menjalankan MIUI 12.1 berasaskan Android 11 yang sedikit lebih baharu berbanding MIUI 12 lain.

Harga jualan peranti ini adalah bermula dari RM999 untuk 6/128 GB dan adalah RM1,299 8/256 GB. Untuk promosi awal, pengguna boleh dapatkan Poco X3 Pro pada harga RM899 dan RM1099 berserta . Jualan bermula pada 24 Mac 2021 melalui Shopee atau Lazada.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd